Apartment ‘port’ untuk berparti

Apartment ‘port’ untuk berparti

Lapan individu termasuk seorang remaja lelaki dikompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjadikan sebuah apartment, di sini, sebagai ‘port’ untuk berparti.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, enam lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun itu ditahan susulan aduan awam pada 3.15 pagi tadi.

“Polis menerima maklumat terdapat bunyi bising sebelum sepasukan anggota Pasukan Rondaan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung hadir melakukan pemeriksaan di premis berkenaan.

“Susulan itu, polis menemui semua individu itu sedang berkumpul dalam premis dan dipercayai menganjurkan aktiviti parti serta tidak mematuhi SOP PKP. Mereka dikenakan kompaun RM1,500 setiap orang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua individu berkenaan tidak terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dan polis juga tidak menemui barang larangan termasuk dadah di rumah itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua yang dikompaun tidak mempunyai hubungan kekeluargaan sebaliknya mereka adalah kawan rapat.

“Mereka sewa apartmen yang dijadikan inap desa itu untuk satu malam untuk berparti. Tiada minuman alkohol sepanjang pemeriksaan dibuat dan mereka memainkan muzik ‘techno’ dengan kuat sehingga mengganggu jiran.

“Semakan mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya. – HM