“Apa salah saya, kenapa saya kena macam ini” – Faisal Halim

“Apa salah saya, kenapa saya kena macam ini” – Faisal Halim

 

Pemain Selangor FC dan pemain kebangsaan, Faisal Halim sempat meluahkan rasa sedih dan mempersoalkan mengapa dirinya perlu menerima nasib sedemikian rupa selepas menjadi mangsa simbah asid semalam, lapor Sinar Harian.

Perkara itu dikongsikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin  sewaktu melawat Faisal di hospital.

“Saya orang pertama yang berjumpa dengan Faisal dan isterinya di bahagian kecemasan. Saya sempat berborak dengannya.

Dia cakap ‘Apa salah saya Datuk. Kenapa saya kena macam ini.’ Dia menangis dengan keadaan dia pada ketika itu yang dalam kesakitan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu temubual dengan Sukan Sinar di Wisma FAM Kelana Jaya pada hari ini.

Tambah Presiden FAM itu, beliau berharap Faisal kembali pulih disamping menzahirkan kekecewaan dengan kejadian yang menimpa pemain sayap kebangsaan itu.

Difahamkan, pemain berusia 26 tahun itu mengalami kelecuran tahap dua selepas disimbah asid ketika membawa keluarganya ke pusat membeli belah di Damansara.

Susulan itu, Faisal telah dikejarkan ke sebuah hospital di Shah Alam bagi mendapatkan rawatan dan sudah menjalani pembedahan pertama hari ini.

Bagamanapun, dia masih dalam pemantauan doktor disebabkan keadaannya dilaporkan berada pada tahap kurang baik.

Hari ini, seorang lelaki ditahan polis pada Ahad bagi siasatan berhubung kejadian simbah asid yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pasar raya berdekatan Kota Damansara, Petaling Jaya, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek telah diberkas di Pandan Indah, Ampang.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif kejadian.

“Setakat ini pihak polis telah merakam keterangan tiga individu termasuk mangsa (Faisal),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut beliau, polis turut memanggil beberapa saksi bebas pada hari yang sama untuk membantu dalam siasatan.

Difahamkan, dalam kejadian pada Ahad, pemain Selangor FC itu dihampiri oleh dua individu yang menunggang motosikal sebelum mereka menyimbah asid kepadanya.

Faisal kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan keadaannya dilaporkan stabil.

Susulan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.