Apa hala tuju pimpinan Perak FC?

Apa hala tuju pimpinan Perak FC?

Perak FC dijangka terus bergelut dengan tunggakan gaji selepas mereka perlu mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini tanpa sumber kewangan yang kukuh.

Ini selepas mereka tidak lagi akan menerima ‘talian hayat’ selepas kerajaan negeri sudah pun memberi bantuan terakhir kepada mereka untuk menyelesaikan tunggakan gaji yang sedang membelenggu pasukan itu.

Sumber mendedahkan setakat ini tiada lagi syarikat swasta yang mahu tampil membantu daripada segi penajaan atau mengambil alih saham pasukan terbabit yang pastinya dapat membantu mengukuhkah kewangan pengurusan.

Malah, pengurusan juga sebelum ini tidak bersedia membuka peluang kepada syarikat untuk memiliki saham namun akhirnya terpaksa berbuat demikian apabila kini mencari ‘tuan baharu’ untuk Perak FC.

“Sepatutnya penjualan saham pasukan dibuka awal musim lalu sebelum saingan liga berlangsung dan sudah pasti mudah untuk menyusun beberapa perkara termasuk kewangan serta pengurusan.

“Jika dilihat situasi sekarang, memang tiada lagi syarikat swasta atau individu mahu mengambil alih pasukan itu. Kita perlu menunggu sekiranya ada rezeki seperti Melaka United (MU) yang diambil alih oleh syarikat swasta.

“Saya juga dikhabarkan bantuan yang diberikan baru-baru ini berkemungkinan adalah yang terakhir. Pengurusan dinasihatkan mencari alternatif lain supaya tidak bergantung lagi kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali mengesahkan pihaknya ada menerima suntikan dana daripada kerajaan negeri kira-kira RM4 juta untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan bagi Februari dan Mac.

“Mengenai isu syarikat mahu mengambil alih atau berminat terhadap Perak FC, perkara terbabit akan dilihat nanti dan saya tidak boleh mengulas mengenainya.

“Perak FC ada perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk menyelesaikan masalah membabitkan kewangan pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Super,” katanya. – BH