“Apa dia cakap semua tak betul” – Ibu kandung Musa dakwa Noh Salleh putar belit kenyataan
Ibu kandung Musa yang juga anak angkat kepada aktivis kemanusiaan Mizz Nina iaitu Athira menafikan sekali lagi segala kenyataan dikeluarkan penyanyi Noh Salleh di mahkamah, semalam.
Athira berkata, dia kesal dan kecewa dengan kenyataan putar belit yang dikeluarkan oleh penyanyi dan vokalis kumpulan Hujan itu.
Menurutnya, dia tidak pernah memberikan keizinan kepada Noh untuk mengambil Musa ketika ia di bawah penjagaan Mizz Nin.
“Semua kenyataan dia (Noh) tidak benar dan saya dimanipulasi olehnya. Ketika dia minta saya menandatangani Statutory Declaration (SD), dia mengatakan sekurang-kurangnya bila Nina ke luar negara, dia dapat menjaga Musa. Jadi saya fikir Nina sibuk dengan kerja, jadi saya izinkan dia menjaga Musa buat sementara.
“Disebabkan itu saya tandatangani SD (akuan berkanun) itu. Saya tandatangani SD itu di hadapan pekerjanya sahaja. Tiada orang lain. Tiada Pesuruhjaya Sumpah.
“Saya tak tahu sah atau tidak ketika itu. Kemudiannya saya diberitahu saya sepatutnya tandatangani SD itu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Jadi SD itu tidak sah,” katanya.
Menurutnya, dia juga tidak tahu perancangan Noh untuk mengambil Musa ketika ketiadaan Mizz Nina dalam negara pada 19 Disember tahun lalu.
“Saya juga tak tahu dia merancang untuk mengambil Musa dan sebagainya. Jadi bila saya dengar kenyataan yang diberikan kepada media semalam dan kelmarin, saya terkejut kerana apa yang dia cakap semuanya tak betul.
“Saya mula pelik apabila dia menyuruh saya menyekat nombor telefon Nina. Jadi di sini niat saya hanya mahu memberitahu perkara yang betul selepas melihat apa yang berlaku sekarang ini,” katanya.
Athira sekali lagi menegaskan dia menyerahkan penjagaan Musa hanya kepada Mizz Nina sejak dari awal lagi.
“Dari awal saya tandatangani surat penyerahan itu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Nina adalah penjaga Musa yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, Athira kesal apabila nama penuhnya tersebar selepas dia meminta Noh membuat permohonan maaf pada 25 Januari lalu.
“Malah berkenaan gambar Musa dimuat naik di laman sosial, Noh tahu kami sudah berjanji untuk tidak mendedahkan wajahnya. Nina juga memuat naik gambar tanpa mendedahkan wajah Musa, jadi takkan dia tidak faham.
“Saya memang tak mahu muka Musa didedahkan, antara sebabnya saya menghormati Nina sebagai pempengaruh.
“Kemudian sekali lagi Noh mendedahkan nama penuh saya, sedangkan dia yang merancang semua ini. Saya geram dan berasakan diri ini seakan dipergunakan. Sekarang mangsanya adalah saya.
“Dia seolah-olah berdendam dengan saya apabila dia berbuat demikian, kalau dia betul-betul memohon maaf bukan itu caranya, malah sekarang rasanya dia sudah menyekat nombor telefon saya,” katanya.