“Apa? Ahli Parlimen ni bodohkah tidak reti nak jaga parti? Kita tahulah” – Tajuddin

“Apa? Ahli Parlimen ni bodohkah tidak reti nak jaga parti? Kita tahulah” – Tajuddin

 

Ahli Parlimen Umno tahu apa yang perlu dilakukan apabila tiba masanya untuk mengundi usul pada sidang Parlimen akan datang, kata Tajuddin Abdul Rahman menjawab gesaan kepada wakil rakyat parti itu supaya mengikut keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Pengarah pilihan raya Umno itu berkata, Ahli Parlimen parti Melayu itu tidak perlu disuruh-suruh kerana mereka juga tahu bagaimana hendak menjaga kepentingan Umno selepas MKT mengumumkan ia menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Ahmad Maslan baru-baru ini mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Umno boleh menggunakan budi bicara untuk mengundi nanti, namun menambah keputusan parti mesti jadi panduan mereka.

“Saya tahulah nak ikut macam mana. Apa? Ahli Parlimen ni bodohkah tidak reti nak jaga parti? Nak ikut keputusan parti? Kita tahulah,” katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia.

Tajuddin dipetik sebagai berkata bahawa setiap Ahli Parlimen mempunyai pendirian masing-masing dan tidak perlu “dicatur” oleh mana-mana pihak, walaupun terikat pada keputusan MKT.

Beliau menarik perhatian kepada keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang menyatakan “kita” tarik diri apabila Parlimen dibubarkan.

“Selagi tak dibubar, tak ada keputusan yang memaksa,” katanya.

Tajuddin berkata, PAU juga membenarkan menteri dan timbalan menteri untuk terus bersama kerajaan “buat sementara ini”.

“Jangan marah mereka (menteri dan timbalan menteri Umno). Kalau masih lagi dalam kerajaan, itu bermakna mereka berpegang kepada keputusan PAU. Tapi ada yang desak supaya menteri, timbalan letak jawatan. Apa desak-desak?” katanya.

Beliau menambah sama ada langkah MKT Umno terhadap Muhyiddin berjaya atau sia-sia hanya boleh ditentukan di Dewan Rakyat.

Sumber: FMT