Anwar punya majoriti jadi PM jika Azmin kembali ke PKR, kata Tian Chua

Anwar punya majoriti jadi PM jika Azmin kembali ke PKR, kata Tian Chua

 

Naib Presiden PKR Tian Chua mempertahankan seruannya agar Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh membantunya memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Beliau menafikan membuat kenyataan itu untuk membuka ruang bagi Azmin Ali kembali menyertai PKR dan menegaskan beliau tidak ada sebarang kuasa untuk menentukan perkara itu.

“Ada yang berkata, dengan menggesa PH bekerjasama dengan sesiapa sahaja supaya kita dapat menang di Melaka, saya sebenarnya sedang cuba nasib untuk lihat sama ada Azmin dan yang lain yang telah meninggalkan parti akan diterima semula dalam PKR.

“Cakap-cakap seperti itu tidak berasas dan merepek,” kata bekas Ahli Parlimen Batu itu kepada FMT.

Bagaimanapun, tambahnya, Presiden parti itu, Anwar Ibrahim akan mempunyai majoriti untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Azmin dan 20 Ahli Parlimen lain kembali ke PKR.

“Jika ini berlaku, terserah kepada Anwar untuk menerimanya. Ini bukan keputusan saya.”

Ia juga terpulang kepada Anwar untuk memutuskan sama ada PKR patut bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan pasukannya, katanya.

“Saya cuma kata, kita mesti cari kerjasama yang akan bawa kemenangan.

“Kita mesti ingat, pilihan raya umum (PRU) akan datang boleh jadi kucar-kacir. Ada pihak ketiga – Warisan, Muda dan pelbagai NGO – yang akan tampil bertanding,” katanya.

“Adakah kita akan tolak mereka yang mahu bekerjasama dengan kita?”

Awal minggu ini, Loke Siew Fook dari DAP mengkritik Tian Chua atas cadangannya supaya PH bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mampu membantu gabungan itu memenangi PRN.

“PH mesti tolak pengkhianat,” kata Loke di Facebook.

Tian Chua berkata, PKR mungkin sudah hilang sinarnya dan memerlukan sokongan untuk memenangi PRN pada 20 Nov, termasuk daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

“Bagi PRN Melaka, matlamat kami adalah mengalahkan Umno,” tambahnya.

Beliau menghormati pendirian DAP menolak kemasukan individu tertentu ke dalam PH, katanya, sambil menjelaskan, beliau bukan bercakap mengenai menerima atau menolak sesiapa.

“Pendiriannya adalah kita wujudkan pakatan untuk menang. Itu adalah prinsip umum.”

Empat ADUN Melaka yang dimaksudkan adalah Idris Haron, Nor Azman Hassan, Noor Effendi Ahmad dan Norhizam Hassan Baktee.

Idris dan Nor Azman sebelum ini menganggotai Umno dan Noor Effendi adalah bekas ahli Bersatu. Norhizam memenangi kerusinya atas tiket DAP pada 2018 tetapi kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas yang menyokong Umno.

Dalam kenyataan berikutan mesyuarat Majlis Presiden PH pada Khamis, diumumkan bahawa Norhizam tidak akan dinamakan sebagai calon.

Mengenai tiga lagi ADUN terbabit, Majlis Presiden berkata, ia menerima pandangan semua pihak mengenai perkara ini. Namun, Anwar juga dipetik berkata, PKR akan menunggu untuk lihat sama ada mereka akan memohon untuk menyertai parti itu.

COMMENTS