Annuar beri bayangan barisan kabinet yang hampir sama bakal dibentuk

Annuar beri bayangan barisan kabinet yang hampir sama bakal dibentuk

 

Semua pihak digesa berhenti daripada terus membuat “ugutan” kepada kerajaan selepas pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu kerana ia boleh menganggu perjalanan perancangan dalam usaha mendepani wabak Covid-19 dan pemulihan negara, kata Annuar Musa.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau percaya dengan pelantikan itu barisan kepimpinan Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini tidak akan berubah dengan banyak kerana ia akan diisi dalam kalangan 114 Ahli Parlimen yang menyokong.

“Sebab itu saya kata kena kembali kepada kita terutamanya Ahli Parlimen, kena ambil sikap bertanggungjawab jangan suka melompat ke sana ke sini, apa yang dapat, macam sekarang kerja tergendala, apa sangat yang dapat, yang bertukar tempat bertukar jawatan bertukar portfolio beberapa orang sahaja.

“…saya tak fikir wujud kerajaan baharu yang semua sekali tukar (barisan kabinet). Nak dilantik di kalangan 114 ini juga, yang dijatuhkan dulu 114 ini juga, kita ‘pi mai pi mai tang tu juga’, yang rugi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri melancarkan ‘flag off’ perjalanan Sukarelawan Rumah Prihatin untuk penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Merbuk dan Jerai.

Annuar yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun menegaskan kuasa memilih barisan Jemaah Menteri di bawah pimpinan Ismail merupakan kuasa mutlak perdana menteri dan ia tidak boleh diganggu.

“Kuasa perdana menteri jangan usik, kita jangan beri sebarang tekanan, kena hormati sistem dimana pembentukan jemaah menteri adalah satu hak mutlak perdana menteri,” katanya.

Annuar berkata,semua wakil rakyat patut malu kepada rakyat disaat mereka susah pemimpin berebut kuasa dan melakukan cubaan menjatuhkan kerajaan.

“Kita sudah lalui beberapa kali bertukar kerajaan, cukuplah kena malu kepada rakyat, malu kepada diri sendiri. Jangan guna mandat rakyat untuk tujuan salah, rakyat sedang memerhati,” katanya.

Ditanya soal nama kerajaan baharu di bawah kepimpinan Ismail, Annuar berkata ia bukanlah isu besar sebaliknya yang penting kesepakatan antara parti BN, PN, GPS, PBS, dan beberapa yang lain dalam mentadbir negara.

“Sebab itu pada masa ini kurangkanlah polemik, kita beri perdana menteri tunai tanggungjawab,saya percaya, berdasar latar belakang Ismail beliau adalah orang suka berunding, beliau bukan seorang watak yang keras, bukan ketua kabilah nak menegakkan itu nak menegakkan ini, beliau sesuai dalam keadaan sekarang, menjadi pendamai dan sejuk menyejukkan keadaan,” katanya.

Ismail dilantik sebagai perdana menteri baharu menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada Isnin lalu.

Sumber: FMT