“Chef terhebat dunia pun tak cakap begitu..” – Anis Nabilah sifatkan kenyataan Masterchef Indonesia tak beradab
Baru-baru ini, juara Masterchef Indonesia musim kelima, Stefani Harison teruk dikecam susulan mendakwa nasi kandar Malaysia rasa berpasir dan tidak asli.
Susulan daripada itu, chef selebriti, Anis Nabilah menggesa rakyat Malaysia untuk tidak memberikan perhatian terhadap kenyataan yang dibuat oleh chef tersebut.
Menurut OhBulan, Anis berkata, individu seperti itu tidak layak diberikan tumpuan kerana dia akan merasakan dirinya lebih besar.
Keluarga ibu saya berasal dari Pulau Pinang. Jadi, saya memang dibesarkan dengan makan nasi kandar. Saya nampak ramai yang marah bila berita tersebut tersebar. Saya juga terkejut.
Pada saya, ia tidak sopan. Namun, lebih baik kita tidak berikan perhatian. Bila ramai yang kongsi dan berikan komen, lebih banyak kuasa yang kita berikan kepada individu tersebut.
Anis yang ditemui di majlis pelancaran outlet terbaharu, Illy Caffe di Nu Central turut mengakui tindakan chef tersebut sangat biadap kerana tidak tahu menghormati makanan tradisi dari negara lain.
Beliau adalah salah seorang peserta Master Chef dan tidak dinafikan dia pandai memasak. Pada saya, rasa ini sangat subjektif. Saya sudah pergi serata dunia dan mencuba pelbagai jenis makanan termasuk menu pelik.
Sekali pun saya tak pernah mengkeji makanan sama ada di hadapan atau belakang orang. Apatah lagi ketika ingin memberikan komen di tv atau media sosial.
Kita kena hormat terutama sekali makanan tradisional negara lain. Sebagai manusia yang ada adab, kita tidak akan berkata buruk tentang tradisi orang lain. Mungkin dia kurang adab. Jadi, tak perlulah kita beri perhatian.
Berbicara lebih lanjut, Anis memberitahu dia tidak pernah melihat chef-chef terkemuka dunia memberikan komen tidak baik terhadap makanan tradisi sesebuah negara.
Saya tak tahu kenapa dia buat kenyataan tersebut. Sebagai seorang profesional, kita tidak akan keluarkan kenyataan seperti itu.
Malah, chef terhebat dunia pun tidak akan bercakap sebegitu. Kalau tak sedap, mereka akan kata makanan tersebut mungkin tidak sesuai dengan tekak.
Mungkin pemilihan kata-katanya agak teruk atau mungkin dia tidak profesional.