Angkara diejek, kakak tikam adik hingga maut

Angkara diejek, kakak tikam adik hingga maut

 

Akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang sekolah hingga timbul perselisihan faham, seorang remaja perempuan menikam adik lelakinya hingga maut di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.15 petang.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik.

Menurutnya, ibu mangsa mendakwa mangsa berusia 16 tahun bergaduh dengan kakaknya berusia 18 tahun berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Katanya, kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah keluarga.

“Suspek ditahan dan akan dipohon bagi mendapatkan perintah tahan reman.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang hari ini.

“Bedah siasat akan dijalankan esok di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

LOKASI kejadian remaja lelaki maut selepas ditikam kakaknya. FOTO Ihsan Pembaca.