Angkara cemburu, lelaki ditemukan maut dengan sembilan kesan tikaman

Angkara cemburu, lelaki ditemukan maut dengan sembilan kesan tikaman

 

Pesara tentera ditemukan maut dengan sembilan kesan tikaman pada badannya di Bukit Sumpitan, Selama dekat sini, semalam.

Difahamkan, mayat lelaki berusia 42 tahun itu ditemukan dengan lima kesan tikaman di belakang dan empat tikaman di depan badan kira-kira 60 meter dari jalan raya.

Mayat itu ditemukan susulan siasatan yang dijalankan polis selepas anak saudara mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Sepetang dekat Taiping pada Isnin lalu.

Anak saudaranya yang tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa di Taman Ngah Ibrahim, Taiping mendakwa pesara terbabit dilarikan secara paksa dari rumahnya pada Ahad lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya segera menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kejadian itu berlaku pada 3 petang di hadapan rumah mangsa serta dilakukan oleh dua lelaki yang dikenalinya.

“Polis segera menjalankan satu operasi dan berjaya menahan kedua suspek terbabit.

“Suspek pertama yang berusia 31 tahun dan berkerja sendiri ditahan sekitar Taiping pada 9 malam kelmarin, manakala suspek kedua berusia 34 tahun yang juga seorang anggota tentera ditahan pada 10 malam di Perlis pada semalam ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, soal siasat terhadap kedua suspek itu membawa polis ke satu kawasan di Bukit Sumpitan dan ditunjukkan lokasi mayat mangsa.

“Pemeriksaan awal Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di situ mendapati mangsa ditikam dengan senjata tajam dan dipercayai mati kira-kira tiga hari sebelum mayatnya ditemui.

“Mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan,” katanya, seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, siasatan awal yang dijalankan terhadap kedua suspek itu mendapati punca kejadian adalah disebabkan cemburu kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada anggota tentera terbabit.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kedua suspek kini direman sehingga 20 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 363 dan 302 Kanun Keseksaan.