Anggota tentera maut, bayi parah kemalangan

Anggota tentera maut, bayi parah kemalangan

 

Seorang anggota tentera wanita maut manakala bayinya parah setelah kereta yang dinaiki bersama dua anak lain terbabas di Kilometer 209.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini semalam.

Nahas pada pukul 10.55 malam itu mengorbankan Norfatiha Mohd. Zaini, 28, yang berkhidmat dalam Kor Perkhidmatan Diraja, Ipoh di tempat kejadian.

Memetik Utusan, kejadian itu turut menyebabkan bayi perempuannya yang berusia satu tahun parah di kepala manakala dua lagi anak masing-masing berusia enam dan tiga tahun tidak cedera.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Sungai Petani menghala ke Ipoh.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bayi perempuan mangsa berusia satu tahun cedera parah dan masih dirawat di zon merah Hospital Taiping.

“Dua lagi mangsa yang turut berada dalam kenderaan itu ialah kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun. Kedua-dua mereka tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.