Tumbuk pemandu wanita, anggota tentera ditahan

Tumbuk pemandu wanita, anggota tentera ditahan
Lelaki yang juga anggota tentera ditahan polis selepas dipercayai menumbuk pemandu wanita di Jalan Persiaran Senawang 4, dekat Taipan, di sini, malam tadi.
Kejadian pada 10.15 malam itu turut tular di media sosial, mendakwa insiden bermula apabila anak kepada lelaki terbabit dilanggar kereta ketika sedang melintas jalan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan kemalangan itu yang membabitkan dua pejalan kaki, dengan siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia yang dipandu wanita berumur 28 tahun dari arah Mydin Senawang menghala ke Senawang.
“Apabila tiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba pejalan kaki iaitu wanita berumur 34 tahun dan anak perempuannya berumur tujuh tahun dikatakan melintas jalan dari arah sebelah kiri jalan ke sebelah kanan.
“Akibat jarak dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak dan dikatakan melanggar pejalan kaki berkenaan.
“Pelanggaran menyebabkan dua beranak terbabit cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun dalam masa sama, beliau berkata, anggota tentera berumur 35 tahun didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pemandu kereta berkenaan.
“Pemandu wanita mengalami lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala selain kereta juga mengalami kerosakan.
“Tangkapan ke atas lelaki itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban petang tadi dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaa ,” katanya.
Bagi kes kemalangan katanya, siasatan dijalankan mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian yang boleh mencetuskan ketegangan dan sentiasa patuh kepada undang-undang.
“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Aswad Mazlan di talian 011-10843873 atau boleh terus ke mana- mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.