Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh positif Covid-19

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh positif Covid-19

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan seorang anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh disahkan positif Covid-19.

Pengarah JBPM Perak Azmi Osman berkata, anggota lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang bertugas di Unit C BBP Ipoh itu disahkan positif melalui ujian saringan pada Sabtu lalu selepas mengalami demam serta simptom lain.

Menurutnya, susulan itu seramai 11 daripada keseluruhan 35 anggota dari unit sama yang dikesan kontak rapat anggota terbabit diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin kendiri di rumah.

“Hasil keputusan ujian saringan bagi 11 anggota yang dikuarantin itu akan diketahui hari ini, manakala selebihnya iaitu 23 anggota lagi berkemungkinan akan menjalani ujian saringan hari ini.

“Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjejaskan persediaan dan kesiapsiagaan bomba balai terbabit kerana kita mempunyai pelan dan strategi tersendiri termasuk bantuan anggota balai yang berdekatan,” katanya dalam sidang media sempena Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air JBPM Perak di Taman Eko-Rimba Ulu Kenas di sini, hari ini.

 

AZMI Osman (tiga dari kiri) ketika membuat gimik pelancaran sempena sidang media Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air JBPM Perak di Taman Eko-Rimba Ulu Kenas, hari ini. FOTO Muhamad Zulsyamini Sufian Suri
AZMI Osman (tiga dari kiri) ketika membuat gimik pelancaran sempena sidang media Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air JBPM Perak di Taman Eko-Rimba Ulu Kenas, hari ini. FOTO Muhamad Zulsyamini Sufian Suri

 

Hadir sama Ketua Cawangan Program Kesedaran dan Keselamatan Awam JBPM Nik Zulkifli Ibrahim.

Azmi berkata, BBP Ipoh mempunyai seramai 97 pegawai serta anggota dan pihaknya belum dapat mengetahui punca jangkitan anggota terbabit.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/647694/anggota-bomba-bbp-ipoh-positif-covid-19