“Dia takut wartawan kejar..” – Ina Naim tampil perjelas dakwaan anak tak restui perkahwinan

“Dia takut wartawan kejar..” – Ina Naim tampil perjelas dakwaan anak tak restui perkahwinan

 

“Dia takut wartawan kejar..” – Ina Naim tampil perjelas dakwaan anak tak restui perkahwinan.

Ina Naim tampil menjelaskan ketiadaan anak keduanya, Sallman Elkhoyri, 14, pada majlis pernikahannya kerana tertidur.

Menerusi sesi langsung di TikTok, Ina ditemani suami baharu, Mohd Khairul Rizal Shukor, 41, berkata Sallman juga sengaja menyibukkan diri dengan membantu kerja di luar kerana takut diserbu media.

“Ramai tanya pasal Sallman, hari pertama memang sibuk angkat dulang dan makanan sebab nak elakkan wartawan bertanyakan soalan kepadanya.

“Dia takut wartawan kejar, masa saya tengah sibuk mekap, dia kata ibu ramainya wartawan.

“Lepas itu, adik-beradiknya beritahu mungkin dia ke kubur arwah bapanya. Kemudian, Sallman ke masjid dan balik ke rumah.

“Saya agak dia merajuk, rupa-rupanya Sallman masuk dalam bilik dan tertidur,” kata Ina.

Sebelum ini, timbul dakwaan kononnya Sallman tidak merestui pernikahan ibunya apabila wajahnya tidak kelihatan dalam video majlis perkahwinan Ina atau Nordiana Mohd Naim, 40, di Felcra Sg Ara, Kota Tinggi, Johor pada Jumaat lalu.

Menurut Ina lagi, Sallman tidak seperti anak sulungnya, Ehmad Hadie Elfardie, 16, yang sentiasa bersedia dan yakin berdepan media.

“Dua anak perempuan saya wartawan tak bertanya. Hadie pula memang sentiasa bersedia, manakala Sallman tak berani nak bercakap,” kata Ina.

Dalam sesi langsung sama, Ina kelihatan cukup bahagia berkongsi suaminya memiliki persamaan dengan arwah suaminya yang juga penyanyi nasyid, Allahyarham Suhaimi Saad kerana suka memberikan kejutan bunga kepadanya.

“Suami rajin beri bunga sama macam arwah suami. Sampai sehari sebelum nikah pun masih beri saya bunga.

“Dia turut hadiahkan bunga untuk SS (Suhaimi) untuk diletakkan di kuburnya.

“Bunga yang diberikan untuk saya banyak sangat hingga saya terpaksa buang.

“Banyak persamaan suami dengan arwah, itu yang buatkan saya rasa Allah Maha Kaya,” kata Ina.

Ina dan Mohd Khairul berkenalan dalam media sosial apabila lelaki yang bertugas sebagai jurutera itu memulakan langkah dengan menghubungi Ina pada Mei lalu.

Mohd Khairul berstatus duda kepada dua cahaya mata adalah peminat setia Allahyarham Suhaimi dan sangat mengidolakan cara penyanyi itu mendidik anak-anak dengan ilmu agama.

Sementara itu, Ina bergelar balu selepas Suhaimi yang juga bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada 15 November lalu.