Anak Zahid luah rasa syukur, bapa dibebaskan dari 40 pertuduhan rasuah

Anak Zahid luah rasa syukur, bapa dibebaskan dari 40 pertuduhan rasuah

 

Anak perempuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah meluahkan kesyukuran berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan bapanya daripada 40 pertuduhan rasuah.

Menerusi sebuah hantaran di laman Instagram, Nurulhidayah mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana sudi menitipkan doa untuk bapanya yang juga Presiden Umno itu.

“Allahuakbar. Alhamdulillah. Segala syukur dan pujian hanya kepada Allah yang Maha Berkuasa.

“Mewakili keluarga saya, dengan rendah hati kami ingin berterima kasih kepada keluarga, sahabat dan semua yang mendoakan abah,” tulis wanita berusia 44 tahun itu.

Naib Pengerusi MQ Tech itu berkata, segala kebaikan dan semangat berterusan daripada para penyokong hanya mampu dibalas Allah SWT.

“Hanya Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan kalian atas doa dan kata semangat yang tak pernah putus-putus. Aaminn,” katanya yang mesra dipanggil Kak Long.

Rata-rata pengikut turut berkongsi rasa syukur selain tumpang gembira atas ‘perjuangan’ tersebut selepas bertahun-tahun bapanya menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah.

Alhamdulillah tahniah…

Harap jadi Perdana Menteri seterusnya

‘Happy’ untuk Nurul & keluarga!

Hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.