Anak yatim piatu gigih berniaga nasi lemak walau sakit jantung berlubang

Anak yatim piatu gigih berniaga nasi lemak walau sakit jantung berlubang

 

Mungkin ada antara kita cemburu melihat rezeki orang lain yang lebih banyak, tapi sebenarnya ada ramai lagi insan yang hidup serba kekurangan tetapi kuat bekerja walaupun berhadapan pelbagai masalah.

Satu perkongsian oleh @fs.channel.official di TikTok telah berjaya membuka mata ramai orang tentang kisah hidup seorang anak yatim piatu yang menghidap masalah jantung berlubang, namun dia gigih berniaga nasi lemak pada setiap pagi.

Menerusi video yang dimuat naik, anak yatim yang mesra dipanggil Udin itu telah kehilangan bapa dan ibunya ketika dia berusia 2 dan 10 tahun. Kini, dia tinggal bersama ibu saudara dan berniaga nasi lemak untuk menampung perbelanjaan harian.

Lebih mengagumkan, Udin akan bangun seawal jam 3 pagi untuk memasak dan menyediakan nasi lemak pada setiap hari di sekitar Petronas Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Atas permintaan orang ramai juga, pada minggu tersebut Udin membuat 150 bungkus untuk diniagakan.

FS Channel yang gemar membantu peniaga kecil juga berasa kagum dengan kegigihan Udin lalu membeli kesemua baki nasi lemak yang ada untuk diberikan secara percuma kepada orang lain.

Udin turut berkongsi cerita bagaimana tercetusnya idea untuk berniaga nasi lemak. Sebelum ini, dia pernah bekerja di kedai makan namun atas faktor kesihatan, ibu saudaranya telah memberi cadangan supaya Udin berniaga nasi lemak.

Dulu sebelum tahu ada penyakit (jantung berlubang), niat nak jadi askar. Lepas tahu, saya ingat nak jadi tukang masak jelah. Mak saudara dulu kerja dekat stesen kereta api, lepas Covid-19.. tak ada kerja. Sekarang nak kerja balik, kemalangan.

Sehingga kini, Udin akan ke Hospital Pulau Pinang bersama abang saudaranya untuk mendapatkan rawatan sakit jantung berlubang.

Ibu saudara Udin iaitu Puan Surihani yang sedang sakit akibat kemalangan berkata, Udin sepatutnya perlu menjalani pembedahan jantung namun Udin menolak kerana masih boleh menjaga diri.

Sebab dia kata, masa dia sekarang ni dia boleh jaga diri dia. Bila dia operate, dia tak tahu nak jaga diri dia sebab operate dia cuma boleh ‘pakai’ 5 tahun je. Lepas tu operate balik.. mana kami nak cari sampai RM80,000. Dia reda sebab dah lahir macam tu.

Bila mak cik bawa check.. saluran pernafasan dia terbalik, dah bocor.. bila jadi macam tu, dia tak boleh buat kerja berat ke apa.. oksigen dalam badan tiada.

Selain Udin, Puan Surihani turut menjaga adiknya (OKU) dan dia berazam untuk menjaga kedua-dua mereka sampai akhir hayat.

@fs.channel.offici

Adik Udin Jantung Berlubang, Anak Yatim Piatu – Nasi Lemak Murah & Sedap Betul !! Untuk Tempahan Adik Udin (18 Tahun) 011-6226 1899 Waktu Meniaga Setiap hari (7.00 Am – Sampai Habis) Lokasi Berdekatan Petronas Padang Rengas, 33700 Kuala Kangsar, Perak #fschannel #bantu #support #sedekah #makan #makananviral #nasilemak #fyp

♬ original sound – FS Channel Official – FS Channel Official

Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen berkongsi rasa sedih selepas melihat video tersebut.

Udin 1