Anak tiri trauma dituduh pembuli & terima banyak kecaman dari rakan sekolah, Fizi Ali dedah kisah di sebalik foto tekup mulut

Anak tiri trauma dituduh pembuli & terima banyak kecaman dari rakan sekolah, Fizi Ali dedah kisah di sebalik foto tekup mulut

Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali akhirnya menjawab spekulasi berhubung penularan foto anak tiri yang menekup mulut Ameena Sofia, baru-baru ini.

Dedah Fizi Ali, anak tirinya iaitu Damia mengalami trauma kerana dituduh pembuli oleh rakan sekolahnya susulan tularnya gambar berkenaan di laman media sosial.

Penularan gambar tersebut juga telah menjadi punca kanak-kanak berusia 11 tahun itu mengalami kemurungan teruk sehingga hampir seminggu tidak hadir ke sekolah.

Hal ini kerana, rakan sekolah Damia bertindak menghantar pesanan mesej di aplikasi Whatsapp bersama gambar menekup mulut sambil menuduh gadis itu pembuli.

Keadaan semakin memburuk apabila Damia takut untuk keluar dari rumah dipercayai khuatir jika orang ramai akan memarahi dan membencinya, lapor Berita Harian.

“Selepas gambar itu tular, Damia terima banyak WhatsApp daripada rakan sekolah yang menghantar semula gambar menekup mulut Ameena kepadanya. Mereka tuduh Damia pembuli.

“Lebih lagi, gambar wajahnya dibulatkan menyebabkan Damia mengalami kemurungan. Kasihan melihatkan keadaan Damia yang menjadi mangsa buli siber pada usia masih mentah.

“Damia baik, lembut dan sangat sayangkan Ameena. Mereka sangat rapat, malah tidur bersama. Jadi, tak mungkin Damia ada niat nak lakukan perkara tak baik padanya,” katanya memetik Berita Harian.

Menjawab spekulasi, anak Fizi, Ameena sebenarnya mahu mencium tangan kakak tirinya iaitu Damia namun gambar yang terakam malah terlihat seperti menekup mulut.

Fizi yang menyifatkan gambar itu ‘comel’ merasa tidak adil apabila orang ramai bertindak membuat spekulasi dan mengecam anak kecil hanya kerana sekeping foto.

“Ameena aktif, ceria dan tak boleh duduk diam. Dia suka pegang tangan kakaknya dan ketika itu (gambar diambil) Ameena sebenarnya cuba mencium tangan Damia.

“Saya minta tolong jangan bulatkan lagi muka Damia, kalau tak puas hati jumpa saya sendiri. Tolong jangan babitkan isteri, anak-anak dan keluarga saya.” Ujarnya.

Ditanya mengenai bekas isterinya, Shakila Khoriri yang mahu penjelasan mengenai gambar itu, Fizi menjelaskan dirinya ada sebab tidak menjawab Whatsapp wanita itu.

Terdahulu, Shakilla pada Isnin lalu meluahkan rasa kurang senang apabila melihat anak tiri Fizi menekup mulut Ameena dalam foto perkahwinan baharu bekas suaminya itu.

Shakilla sebagai ibu jelas tidak gembira melihat anaknya diperlakukan sedemikian dan menuntut penjelasan daripada penyampai radio itu tetapi tidak diendahkan.

Fizi sebelum ini mencipta kejutan apabila mengumumkan pernikahannya dengan usahawan, Siti Zulaikha di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Selangor, Isnin lalu.