“Anak saya beritahu PU Azman meraba-raba dan menghisap kemaluannya” – Saksi keempat

“Anak saya beritahu PU Azman meraba-raba dan menghisap kemaluannya” – Saksi keempat

 

BAPA kepada seorang lagi mangsa kes amang seksual melibatkan Pencetus Ummah (PU) Azman mendedahkan pendakwa itu pernah melakukan seks oral terhadap anak lelakinya.

Saksi pendakwa keempat pada hari pertama perbicaraan di Mahkamah Sesyen Seremban itu memberitahu perbuatan itu berlaku pada Februari 2022 di kediaman Azman di Sendayan, Negeri Sembilan.

“Anak saya beritahu Azman meraba-raba dan menghisap kemaluannya. Azman juga pernah mengambil anak saya di asrama dan bawanya keluar,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat di hadapan Hakim Datin Surita Budin pada perbicaraan hari pertama yang berlangsung pada Isnin.

pu1 - 1

Sebelum itu, tiga saksi turut dipanggil memberi kenyataan iaitu pasangan ibu bapa mangsa pertama dan Lans Koperal Mohd Nor Arif Mohd yang merupakan jurufoto Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Negeri Sembilan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya Husni Mohd Ramly, saksi itu memberitahu dia mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas diceritakan oleh isterinya pada Julai tahun lalu.

Saksi itu turut menyoal siasat anak lelakinya bagi mendapatkan kepastian tentang kejadian sebelum diakui sendiri oleh mangsa.

“Selepas mendengar cerita itu saya memang rasa marah. Sepatutnya Azman nasihat anak saya tapi lain pula yang jadi,” ujarnya.

Saksi itu memberitahu mahkamah anaknya turut mengenali seorang lagi individu yang menjadi mangsa tertuduh.

Sementara itu, Azman yang duduk dikandang tertuduh dilihat tenang mendengar keterangan saksi-saksi pada hari pertama perbicaraan.

Azman juga sempat menyapa dan menjawab pertanyaan media ketika perbicaraan ditangguhkan untuk makan tengah hari.

Pada 12 Oktober tahun lalu, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

pu2 - 1

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, di sini pada 6 Julai 2022.

Seramai 12 saksi berkemungkinan akan dipanggil pihak pendakwaan bagi memberi keterangan termasuk doktor, ibu bapa, mangsa dan pegawai penyiasat.

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

Perbicaraan disambung pada Selasa.