Anak Rita Rudaini kongsi rahsia kejayaan, mohon doa dapat bergelar Huffaz al-Quran

Anak Rita Rudaini kongsi rahsia kejayaan, mohon doa dapat bergelar Huffaz al-Quran

 

Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai kejayaan diraih anak sulung kepada pelakon Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin dalam sukan olahraga.

Meskipun baru berusia 15 tahun, Rayyan membuktikan kehebatannya dalam sukan serta turut berjaya dalam bidang pelajaran.

Memetik Sinar Harian, Rayyan berkongsikan rahsia kejayaannya perlu seimbang dalam sukan dan pelajaran serta memerlukan komitmen sepenuhnya.

“Kita kena letakkan matlamat untuk mencapai sesuatu, misalnya kalau di trek tentulah fokus utama ingin menjadi juara. Begitu juga dalam pelajaran, saya sendiri letakkan diri untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Rayyan berkata dia bersyukur kerana dapat memecahkan tiga rekod baharu iaitu 100 meter (m), 200 m dan 4X400 meter.

“Sebenarnya ini pengalaman pertama saya menyertai kejohanan peringkat daerah, tidak sangka pula ia membuahkan hasil. Biasanya saya masuk olahraga di peringkat sekolah sahaja dan saya kutip pengalaman ini untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Memperoleh gred purata nilai 3.99 pada peperiksaan semester baru-baru ini, Rayyan berkata dia mahu memberi fokus untuk mendapat 4.0 pada semester depan.

Malah, dia mahu seimbangkan dunia dan akhirat, Rayyan turut berdoa dapat bergelar Huffaz al-Quran dalam tempoh dua tahun lagi semasa di Tingkatan 5.

“Sekarang ini, saya sudah dapat menghampiri hafalan juzuk 15 dan perlu bersungguh-sungguh dan lebih bermakna sekiranya duniawi dan ukhrawi ini dapat diseimbangkan,” katanya.