Anak rayu orang ramai bantu mencari ibunya, Che Som Ibrahim
Seorang wanita warga emas berusia 69 tahun dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas keluar dari rumah di Taman Desa Permai Repah, Tampin, tanpa pengetahuan keluarganya.
Che Som Ibrahim, dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 9 pagi dan ketiadaannya hanya disedari oleh ahli keluarga selepas memeriksa biliknya.
Menantunya, Abdul Halem Shamsuddin, 31, berkata, mereka berasa pelik kerana tiada tanda ibu mentuanya keluar dari rumah. Tetapi tidak terus mencarinya kerana ibu mentuanya selalu keluar rumah bersendirian dan kembali selepas beberapa jam kemudian.
Abdul Halem juga ada memeriksa barangan peribadi ibu mentuanya dan mendapati, Che Som keluar dari rumah dengan hanya membawa dompet kecil yang berisi wang tunai RM200. Beg silang yang sering dibawanya setiap kali keluar rumah pula, masih berada di dalam bilik.
Kehilangan Che Som itu kemudian dimaklumkan kepada ahli keluarga lain dan masing-masing cuba mencari keberadaan Che Som di sekitar kawasan daerah berkenaan dan di Seremban.
Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Tampin berhubung kehilangan Che Som yang juga mengalami masalah kesihatan mental. Walaupun begitu, Che Som masih tahu dan kenal serta ingat tempat yang pernah dikunjunginya. Malah berkemampuan untuk menaiki bas atau teksi untuk ke mana-mana destinasi.
Sehingga kini, masih tiada sebarang petunjuk atau maklumat mengenai Che Som membuatkan keluarganya bimbang akan keselamatan warga emas itu.
Justeru, Abdul Halem berharap mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai ibu mertuanya untuk tampil menghubunginya di talian 013-2729741.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab mengesahkan pihaknya menerima laporan dari Abdul Halem mengenai kehilangan Che Som pada jam 9.30 malam, Sabtu lalu. – HM