Anak Najib akui Leissner bantu dapatkan kerja di TPG London

Anak Najib akui Leissner bantu dapatkan kerja di TPG London

 

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui pernah cuba mendapatkan pekerjaan di bank Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs.

Nooryana Najwa mengakui ada bertanya sama ada bank AS itu menawarkan peluang pekerjaan berkaitan kewangan dan dasar kerajaan ketika bertemu bekas Pengerusi Goldman Sachs South Asia, Tim Leissner dan bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng.

Bagaimanapun, Nooryana Najwa dimaklumkan tawaran pekerjaan kepadanya mungkin menjadi konflik kepentingan memandangkan Goldman Sachs ada menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia.

Jelasnya, peluang bertemu ahli perbankan profesional kanan seperti Leissner dan Ng disifatkan sebagai peluang mengetahui lebih lanjut mengenai program penganalisis di Goldman Sachs, selain usaha membina jaringan dengan individu dalam industri itu bagi mendapatkan pekerjaan kompetitif.

“Saya berminat dalam dasar luar dan kerajaan (saya pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Politik Antarabangsa dan Dasar Luar dari Georgetown University Washington DC), jadi saya mahu mencari pekerjaan yang menggabungkan kewangan dan dasar kerajaan.

“Ya, saya ada bertanya sama ada Goldman Sachs menawarkan pekerjaan seperti itu, dan saya sedia untuk ditemuduga untuk jawatan berkenaan.

“Dan ya, saya dimaklumkan Goldman Sachs ada menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia, jadi ia mungkin menjadi konflik kepentingan,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Susulan itu, katanya, Leissner membantunya mendapatkan tawaran sebagai pelatih di firma ekuiti swasta global, TPG.

Katanya, pekerjaan di firma itu selaras dengan latarbelakangnya sebagai bekas pelajar dalam bidang dasar luar, kerana TPG bertanggungjawab mengumpul dana pelaburan daripada institusi pelaburan strategik seperti tabung pencen dan dana kekayaan berdaulat.

“Saya menghadiri temu duga untuk jawatan pelatih penganalisis di pejabat TPG London. Ya, sebagai pelatih. Bermakna saya berada di kedudukan paling bawah.

“Selain bidang tugas asas, saya juga bertanggungjawab pada tugas sampingan. Sayalah gadis PowerPoint, gadis fotokopi, gadis kopi dan gadis penghantar, selain beberapa tugas lain,” katanya.

Nooryana Najwa memaklumkan dia berkhidmat sebagai pelatih selama 11 bulan, sebelum dinaikkan pangkat sebagai penganalisis sepenuh masa dan dipindahkan ke TPG Hong Kong dan bekerja selama 18 bulan.

“Saya kemudian meninggalkan TPG pada Jun 2015 untuk memberi fokus pada perniagaan dan permohonan menyambung pengajian,” katanya.

Media semalam melaporkan, Leissner ketika memberi keterangan di mahkamah memberitahu, satu pertemuan antara Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, Lloyd Blankfein, berlangsung pada 2009 yang membawa kepada satu agenda.

Leissner mendakwa, sebagai balasan kepada perniagaan lumayan, peluang kerja diberikan untuk tiga anak Najib di bank pelaburan multinasional AS berkenaan.

Leissner yang juga saksi penting dalam perbicaraan jenayah membabitkan bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng, memberitahu perkara itu kepada juri di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York.

Ng dituduh mengaut AS$35 juta (RM146 juta) sebagai ‘sogokan secara rahsia’ dalam dakwaan kecurian berbilion dolar wang pelaburan 1MDB milik Malaysia.

Leissner memaklumkan, BNM membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok supaya ia terlaksana.

Difahamkan, AS$D1 bilion itu termasuk AS$700 juta bagi anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.