Anak gajah jantan ditemui mati, dipercayai dilanggar kenderaan berat

Anak gajah jantan ditemui mati, dipercayai dilanggar kenderaan berat

Seekor anak gajah jantan ditemui mati di tepi jalan KM11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada awal pagi Ahad, dipercayai dilanggar kenderaan berat.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, anak gajah itu dianggarkan berusia empat hingga lima tahun.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau pengakuan pihak yang melanggar gajah tersebut.

“Berdasarkan kesan di lokasi kejadian, memang gajah itu dalam kumpulan yang dianggarkan antara 10 hingga 14 ekor.

“Kawanan gajah mungkin akan menyerang sekiranya merasakan mereka terancam apalagi jika terdapat anak kecil dalam kawanan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan prihatin apabila melalui jalan raya terutama JRTB Gerik-Jeli, kerana kawasan tersebut merpakan habitat dan laluan gajah.

Beliau berkata, pihak Perhilitan telah memasang beberapa papan tanda peringatan sepanjang jalan berkenaan.

Pada Jumaat, seekor harimau dahan betina dewasa ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Jalan Tapah-Bidor, Tapah.

Yusoff berkata, bangkai harimau dahan berusia anggaran lima hingga enam tahun itu ditemui oleh kakitangan Perhilitan yang melalui jalan berkenaan. – AA