Anak didakwa ganggu suami orang, Kazar tak tahu nak komen macam mana

Anak didakwa ganggu suami orang, Kazar tak tahu nak komen macam mana

 

“Tak yah lah, tak ada apa nak komen,” kata pelakon Kazar juga bapa kepada wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang didakwa mengganggu rumah tangga pasangan pelakon Puteri Sarah dan Syamsul Yusof sejak empat tahun lalu.

Kazar, 63, atau nama sebenarnya Kazaruddin Saisi ketika dihubungi berkata apa berlaku hanya mereka saja yang tahu.

“Susahlah nak cakap. Mereka saja tahu apa berlaku. Apa saya tahu, perkara ini kecoh diperkatakan baru-baru ini.

“Cuma, saya tak tahu nak komen macam mana. Saya juga kena jaga hati semua pihak apatah lagi di bulan Ramadan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Puteri Sarah enggan lagi mengulas lanjut mengenai isu itu.

Terdahulu, pada Sabtu lalu Puteri Sarah mendedahkan perkahwinan dibina bersama Syamsul diganggu pihak ketiga iaitu Ira Kaza.

Menerusi hantaran dimuat naik, Puteri Sarah juga ibu kepada dua cahaya mata kesal apabila sering diganggu individu terbabit tetapi bersembunyi di sebalik puluhan akaun media sosial palsu.

Dalam hantaran berbeza, Puteri Sarah turut mempertikaikan tindakan Ira Kaza yang dikatakan tidak putus asa mengganggu suami orang.

Sebelum ini, kisah rumah tangga pasangan selebriti itu didakwa sedang dilanda masalah sehingga mendapat perhatian netizen.

Puteri Sarah juga mengakui sudah lama tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul dan dia mendakwa suaminya itu tahu kenapa bersikap ‘dingin’ terhadapnya.

Syamsul juga mengaku mereka sudah tidak tinggal sebumbung tetapi tidak bermaksud mahu bercerai.

Pasangan itu berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.