Anak bekas PM sudah temui pengganti Jovian, komen Siti Nurhaliza curi perhatian
Selepas bercerai dengan pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie Ogos tahun lalu, Nina Ismail Sabri kini dikatakan sudah menemui pengganti apabila memuat naik gambar dengan seorang lelaki dalam media sosial.
Nina atau nama lengkapnya Nina Sabrina Ismail Sabri, 37, berkata, dia dan lelaki yang dikenali sebagai Hafiz Osman itu sudah bersedia untuk bercakap tentang masa depan.
“Adakalanya kami tidak bercakap tentang persahabatan. Kami akan bersiap dan bercakap tentang masa depan,” tulisnya sebagai kapsyen gambar tersebut hari ini.
Meninjau ke ruangan komen, Nina menjelaskan, dia menghabiskan masa enam tahun untuk membantunya mencari pasangan.
“Saya membuang masa selama enam tahun dalam hidup ini hanya untuk cuba menjodohkan awak.
“Berjam-jam masa dihabiskan supaya dapat menyakinkan awak untuk mencari pasangan dan berkahwin. Siapa sangka hal ini boleh berlaku,” tulis Nina.
Perkongsiannya itu bukan sahaja menarik perhatian pengguna media sosial, malah dilihat beberapa rakan artis dan sosialit lain turut meninggalkan ucapan gembira dan mengharapkan mereka berbahagia.
Tidak terkecuali penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga mengucapkan tahniah kepada Nina yang juga kakak kepadanya penyanyi Dafi.
“Tahniah sayang,” tulisnya menerusi ruangan komen.
Sebelum ini Nina yang juga anak bekas Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkahwin dengan Jovian pada 11 Disember 2013.
Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie, 6.