Amy Search, Ella bergelar Haji & Hajah, bersyukur dapat tunai rukun Islam ke-5
Dua penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search dan Ella selamat menunaikan haji tahun ini.
Amy, 65, ditemani isterinya, Norhasniza Hassan, manakala Ella, 56, pula bersama suaminya, Azhar Ghazali.
Kedua-dua selebriti ini yang kini berada di Tanah Suci sudah selamat bergelar haji dan hajah selepas selesai menunaikan fasa terakhir dalam rukun haji.
“Alhamdulillah hari ini 10 Zulhijjah Ella dan Azhar telah selesai sempurnakan sebahagian daripada rukun haji.
“Terbanglah ke sini mencari abadi, terbangkan ke mari mencari hakiki,” tulis Ella yang turut meninggalkan lirik lagu Rama-Rama pada Instagram.
Sementara itu, Amy pula menyifatkan pemergiannya ke Tanah Suci bersama isteri adalah hadiah terindah untuk isterinya yang menyambut ulang tahun kelahiran.
“Demi cintaku padamu, ke mana pun kan kau ku bawa, ke hujung dunia ke bintang kejora.
“Wukuf hari teristimewa buat bidadariku. Ini hadiah terindah daripada Allah SWT buat mu Hajah Nor, Hari panggilan yang dinantikan dan lebih istimewa kerana hari wukuf jatuh di hari lahirmu.
“Begitulah aturan Allah SWT. Kita wukuf bersama di hari terindah ini 9 Zulhijjah bersamaan 15 Jun 2024.
“Semoga kita mendapat haji mabrur. Selamat hari lahir hajah Nor Hasniza Hassan. Cinta ku pada mu hingga ke Jannah,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.
Selain Amy dan Ella, antara selebriti tempatan yang menunaikan haji pada tahun ini ialah Johan dan isteri, Ozlynn, Datin Alyah dan Elfira Loi.