Amir Sisi, anak Orang Asli juara ‘The Chosen One’, bawa pulang wang tunai RM30,000

Amir Sisi, anak Orang Asli juara ‘The Chosen One’, bawa pulang wang tunai RM30,000

 

Penyanyi cilik, Amir Sisi dan jurulatihnya iaitu Putera Muhammad pada malam tadi telah dinobatkan sebagai juara bagi program ‘The Chosen One’ musim pertama di saluran Astro Ceria.

Memetik Gempak, kemenangan Amir itu berjaya melakar sejarah kerana telah menjadi anak Orang Asli pertama yang menjuarai pertandingan nyanyian itu.

Amir Sisi adalah dari keluarga Orang Asli suku kaum Temiar berusia 12 tahun berasal dari Pos Kemar, Gerik, Perak.

Amir telah berjaya menewaskan tiga lagi peserta lain yang bertanding di peringkat akhir iaitu Khalyn (17), Erika Foo (17) dan Raja Dayana Umayma (13).

Mereka adalah merupakan anak didik kepada Hazama, Kmy Kmo dan Luca Sicta serta Shiha Zikir.

Selaku juara, Amir juga telah menerima hadiah wang tunai bernilai RM30,000, sebuah trofi serta sebuah lagu single daripada syarikat Rocketfuel Entertainment.

Manakala jurulatih Amir iaitu Putera Muhammad pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.

Selain itu, naib juara Khalyn pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 manakala tempat ketiga disandang oleh Dayana dan tempat keempat oleh Erika.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM10,000 dan RM5,000.

Pada malam tadi juga, Dayana telah dipilih sebagai penerima anugerah persembahan terbaik.

Sebelum ini, video persembahan Amir telah berjaya menarik minat penonton dan menjadi tular sehingga ditonton sebanyak 150 juta kali.

Persembahan Amir itu juga telah menarik minat penonton dari luar negara terutamanya dari Indonesia dan pempengaruh Indonesia.

Mereka semua telah memberi pujian akan bakat semula jadi Amir menerusi muat naik perkongsian tersebut.

“Kami di Astro amat berbesar hati apabila rancangan baharu kami. ‘The Chosen One’ dapat melahirkan bintang-bintang baharu seperti Amir Sisi, Khalyn, Erika Foo dan Raja Dayana yang bakal mewarnai industri seni negara.

“Keikhlasan dan aura Amir telah berjaya menambat hati juri-juri dan mencetuskan fenomena di kalangan penonton. Bukan sahaja di Malaysia malah juga di negara jiran.

“Kami mendoakan kesemua peserta ‘The Chosen One’ akan terus bersinar. Dan berharap agar program ini menjadi titik permulaan kepada kejayaan mereka untuk masa akan datang,” ujar Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.

Untuk maklumat, ‘The Chosen One’ adalah merupakan sebuah program nyanyian realiti terbaru yang mengandingkan bakat-bakat baharu.

Peserta juga akan digandingkan dengan penyanyi popular tanah air yang akan menggalas tugas sebagai jurulatih peserta terpilih tersebut.

Seramai 16 peserta telah terpilih untuk bersaing dan menjadi pasangan dengan selebriti tersebut.

Kemudian hanya lapan peserta yang terpilih dan bertanding selama enam minggu bersama jurulatih selebriti mereka untuk merebut gelaran juara.