Ambulans langgar periuk api, 6 maut
Enam individu termasuk seorang wanita mengandung dan seorang kanak-kanak perempuan terbunuh di utara Burkina Faso selepas ambulans yang dinaiki musnah dalam letupan bom di lebuh raya.
Jurucakap kerajaan, Ousseni Tamboura, berkata sebuah ambulans dari pejabat kesihatan daerah Djibo merempuh periuk api di jalan berhampiran Gaskinde dan Namissiguia di wilayah Sahel.
“Tindakan pengecut dan ganas ini berlaku apabila ambulans terbabit dalam perjalanan ke Ouagadougou,” katanya.
Enam yang maut termasuk seorang wanita mengandung, suaminya, dua wanita yang menemaninya, seorang kanak-kanak dan pemandu ambulans manakala sumber berkata kenderaan itu ‘hancur dengan teruk’.
Burkina Faso seperti negara jirannya, Mali dan Niger, berdepan dengan serangan militan, khususnya di utara dan timur negara itu.
Lebih 1,200 orang terbunuh dan kira-kira sejuta orang meninggalkan negara itu sejak keganasan tercetus pada 2015.
Pada 22 Februari lalu, dua wanita terbunuh apabila kenderaan mereka terkena bom di wilayah Yagha, juga di utara negara.
Menurut pengiraan AFP, hampir 200 orang terbunuh dalam serangan objek peranti letupan (IED) sejak penggunaannya meningkat pada 2018. – AFP, BH