“Ambil bertiga dulu, takut seorang hilang” – Gambar terakhir mangsa nahas helikoper TLDM dengan adik beradik undang sebak

“Ambil bertiga dulu, takut seorang hilang” – Gambar terakhir mangsa nahas helikoper TLDM dengan adik beradik undang sebak

 

Kakak kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter tidak menyangka adik bongsunya, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun memberi bayangan Aidilfitri terakhir menjadi kenyataan.

Menerusi laporan Harian Metro, Noryani Tamadun, 50, berkata adiknya itu pernah meminta juadah nasi berlaukkan telur goreng dan ikan masin kerana khuatir tidak dapat menikmati makanan itu lagi.

Malah, dia juga memberitahu Muhammad Faisol Tamadun, 36, turut menunjukkan sikap pelik ketika pagi Hari Raya bersama adik beradik yang lain.

“Adik ada minta nak makan nasi, telur goreng dan ikan masin..,dia kata takut tak sempat makan selepas ini.

“Apabila adik cakap takut tak sempat makan, hati saya terdetik kenapa dia cakap macam ini? Selain itu pada pagi Aidilfitri, dia ajak kami tiga beradik bergambar, walaupun seorang lagi adik perempuan yang bekerja sebagai polis di Pahang belum sampai.

“Arwah kata kita ambil gambar bertiga dulu, nanti takut ‘seorang hilang’, nanti kakak balik (adik kerja polis) akan ganti, dia kata mungkin ini gambar terakhir kita.

“Saya rasa pelik kenapa dia cakap ‘seorang hilang’, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa terakhir sudah ini, hari ini semuanya terjawab,” katanya yang tinggal di Kampung Tanjung di sini.

Apa yang lebih menyedihkan, arwah yang mesra dikenali sebagai Adik Mat pernah berhasrat untuk pencen sebagai anggota TLDM dua tahun lagi dan mahu tinggal di rumah peninggalan orang tua.

Dalam pada itu, Noryani reda dengan pemergian adiknya itu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada Januari dan Ogos tahun lalu.

Difahamkan, jenazah Muhammad Faisol Tamadun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam dan Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan berusia 10 dan enam tahun.

Media hari ini melaporkan seramai 10 orang maut dalam nahas dua buah helikopter milik TLDM terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, pagi ini.

Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di situ dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.