Amber Heard dedah masih sayang, cintakan Johnny Depp

Amber Heard dedah masih sayang, cintakan Johnny Depp

 

Pelakon terkenal Hollywood, Amber Heard mengakui bahawa dia masih lagi sayang dan menyimpan perasaan terhadap Johnny Depp.

Perkara tersebut telah dinyatakannya secara terbuka menerusi sebuah wawancara yang dilakukan oleh NBC.

Amber turut meluahkan rasa sedihnya dengan berkata dia sedar bahawa dia bukanlah seseorang yang disenangi namun dia masih menyayangi bekas suaminya itu dan tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadapnya.

Bintang filem Aquaman itu meluahkan kenyataan tersebut dalam sebuah sesi wawancara yang dihadiri bersama NBC buat kali pertama selepas Johnny Depp memenangi saman terhadapnya.

“Ya betul, saya masih sayangkan dia. Saya sayangkan dia dengan sepenuh hati dan saya telah cuba yang terbaik untuk memastikan hubungan kami yang goyah ini menjadi, namun tetap tidak berhasil.”

“Saya sedikit pun tidak mempunyai niat jahat terhadapnya. Saya tahu ia mungkin sukar untuk sesetengah pihak faham atau mungkin ada yang tidak akan faham. Tapi, untuk mereka pernah menyanyangi seseorang, perkara itu pasti mudah untuk difahami,” ujar Amber.

Walau bagaimanapun, Amber mengakui bahawa dia takut sekiranya akan disaman atas tuduhan fitnah sekali lagi sekiranya terus bersuara berikutan keputusan mahkamah.

Dalam sesi wawancara tersebut, Amber Heard menegaskan bahawa artikel yang pernah dimuat naik olehnya dalam ruangan Washington Post pada 2018 lalu bukan mengenai bekas suaminya itu.

Namun, pihak juri mendapati bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Amber dalam laman tersebut telah memfitnah Johnny Depp meskipun dia tidak menamakannya.

Disebabkan artikel yang dimuat naik olehnya di laman tersebut, dia perlu menghabiskan masa selama enam minggu untuk memberi keterangan.

Akhirnya, kes mahkamah berakhir pada 1 Jun, di mana pihak juri mendapati artikel mengenai pengalaman yang mendakwa dirinya sebagai mangsa penderaan rumah tangga yang terselamat itu adalah untuk memfitnah Johnny Depp.

Sewaktu sesi perbicaraan yang dijalankan, Johnny Depp juga menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan wujudnya unsur penderaan rumah tangga.

Ekoran itu, Amber terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM45 juta ($10.35m) kepada Johnny Depp manakala Amber menang dalam satu saman balasnya.

“Saya bertanggungjawab untuk membersihkan nama saya dan anak-anak saya daripada perkara ini. Saya tidak mahu anak-anak saya membaca perkara-perkara buruk mengenai bapanya,” ujar Johnny.

Dalam sesi perbicaraan lalu, Johnny Depp menegaskan bahawa semua dakwaan Amber Heard adalah palsu semata-mata.

Amber turut memberitahu moderator sewaktu sesi wawancara dijalankan bahawa dia dan Johnny Depp berperilaku buruk antara satu sama lain.