Amaran untuk Bersatu: ‘Jangan ganggu tempat UMNO’
UMNO Perak memberi kata dua kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“Kalau ada keikhlasan untuk menyokong dan mendokong penyatuan di negeri Perak, jangan ganggu tempat UMNO dan Pas.
“Terdapat dua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bersatu di Perak sekarang iaitu di Sungai Manik dan Tualang Sekah. Kerusi itu sebenarnya hak UMNO. Jadi, UMNO akan letak calon bertanding di kawasan ini.
“Bersatu juga digesa tidak bertanding di Parlimen Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang. Itu juga asalnya kawasan UMNO.
“Kami menang dulu (PRU14) atas tiket BN (Barisan Nasional). Kita tidak akan bagi kepada Bersatu. Tiada sebarang kompromi,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Ahad di sini baru-baru ini.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, jika Bersatu benar-benar mahu menyelamatkan ummah dan Melayu, maka mereka disarankan bertanding di kerusi-kerusi yang disandang oleh Pakatan Harapan (PH).
“Bersatu janganlah mengganggu tempat UMNO dan Pas. Cuba cari pasaran baru, itu yang kita minta.
“Kalau tidak, seperti yang dijangkakan, akan berlaku pertandingan tiga penjuru ataupun empat penjuru. Jika itu berlaku, sudah tentu orang lain akan mengambil kesempatan dan parti-parti Melayu akan jatuh,” ujar beliau.
Menurut ADUN Kota Tampan itu, UMNO memiliki kekuatan sendiri menerusi Muafakat Nasional (MN) dan persefahaman itu perlu diteruskan.
“UMNO sudah ada kekuatan bersama dengan MN. Jadi teruskan, tetapi Bersatu datang kemudian.
“Kalau datang Bersatu untuk sama-sama menguatkan Pas dengan UMNO, maka jangan ganggu tempat Pas dan UMNO,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut berjanji untuk mengarahkan semua ahli UMNO supaya membantu Bersatu sekiranya parti itu tidak bertanding di kawasan UMNO.
“Saya janji, kalau Bersatu sanggup bertanding di Simpang Pulai, ahli UMNO di kawasan ini saya akan kerah untuk sokong Bersatu sehingga menang,” katanya.
Kerusi DUN Simpang Pulai disandang Tan Kar Hing daripada PKR yang dimenanginya dengan majoriti lebih 20,000 undi pada PRU 2018.
Ketika ditanya mengenai masa depan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang, Saarani berkata, tidak mustahil PN akan berkubur pada PRU15.
“Ini mungkin boleh berlaku kerana di tempat-tempat Melayu akan berlaku pertembungan tiga penjuru. Kita ambil contoh apa yang berlaku di DUN Titi Serong.
“Ada tiga calon Melayu bertanding iaitu Pas, UMNO dan parti Amanah. Orang Melayu di situ ada lebih kurang 60 peratus, selebihnya bukan Melayu.
“Jadi orang Melayu berpecah kepada tiga. Barangkali 20 peratus sokong Pas, 30 peratus sokong UMNO dan 10 peratus lagi sokong Amanah. Tetapi orang bukan Melayu menyokong PH yang diwakili Amanah.
“Maka, Amanah yang menang. Pas dan UMNO kalah. Amanah menang atas nama PH, didokong oleh DAP,” katanya.
Sehubungan itu, Saarani menggesa Bersatu mengotakan kata-kata mereka yang mahukan penyatuan dan perpaduan dalam kalangan parti-parti Melayu.
“Kalau Bersatu begitu hebat menyeru kepada perpaduan dan penyatuan, saya tiada masalah tetapi perpaduan dan penyatuan jangan datang daripada mulut sahaja, perlu ada tindakan,” kata beliau. – SH