Amaran cuaca buruk di tujuh negeri malam ini

Amaran cuaca buruk di tujuh negeri malam ini

 

Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dikeluarkan melibatkan negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak yang dijangka berlaku sehingga pukul 11 malam ini.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, cuaca buruk itu melibatkan beberapa kawasan di Perak, antaranya adalah Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hillir Perak dan Muallim.

“Di Selangor, melibatkan kawasan Kual Langat, Hulu Langat dan Sepang manakala keseluruhan kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Di Negeri Sembilan, kawasan yang terlibat adalah Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin,” katanya di sini hari ini.

Tambah MetMalaysia, keadaan yang sama turut melanda keseluruhan negeri Melaka serta beberapa kawasan di Sarawak seperti Sri Aman, Miri dan Limbang.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk kekal berada di rumah dan mengambil langkah persediaan dalam menghadapi risiko banjir.