“AMANAH bukan parti Mat Sabu!” – Akhirnya Khalid Samad bersuara menjelang pemilihan, tegaskan parti ini tidak bergantung pada individu

“AMANAH bukan parti Mat Sabu!” – Akhirnya Khalid Samad bersuara menjelang pemilihan, tegaskan parti ini tidak bergantung pada individu

 

MUKADIMAH – KURANG tiga bulan lagi, Parti Amanah Negara (Amanah) bakal mengadakan pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026, serentak penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023.

Dalam tempoh tersebut, sudah timbul perkara yang menyentuh hal kepimpinan, gerak kerja parti dan pelbagai isu lain. Malah selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan, hubungan antara UMNO dan Amanah masih menimbulkan pelbagai persoalan.

Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Pengarah Komunikasi Amanah, KHALID ABDUL SAMAD bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu jurufoto FAUZI BAHARUDIN.

HUBUNGAN DENGAN UMNO

MINGGUAN MALAYSIA:
Bagaimana saudara melihat hubungan antara UMNO dan Amanah setakat ini?

KHALID: Tidak dinafikan memang ada sedikit kejanggalan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan. Tetapi ia akhirnya berjaya difahami semua. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Amanah dan UMNO agak baik dan mereka (UMNO) sendiri telah memenangkan calon kita.

Ia terbukti di beberapa kawasan. Sebagai contoh di Batu Tiga Shah Alam. Ketua Bahagian UMNO memang kerahkan ahli untuk membantu kita. Begitu juga di Kota Anggerik.

Jadi, ini terbukti dan saya yakin ia akan bertambah baik walaupun Amanah bukanlah parti yang terasnya Melayu saja. Kita tiada masalah dan tidak bertembung serta berebut sesama kita.

Setakat ini, Insya-Allah kita boleh kekalkan sampai Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Masalah ada di peringkat awal tetapi ia dapat diselaraskan serta diuruskan dengan baik.

Saya dalam masa sama merasakan UMNO tidak nampak Amanah ini mahu sekat kemaraan mereka, menambah kekuatan supaya dapat sepertimana dahulu.

Dan kita tiada rancangan untuk melemahkan mereka dan saya rasa di peringkat PN mereka tiada akan diberi layanan sebagaimana mereka dapat sewaktu bersama PH. Jadi, saya rasa hubungan kita dengan UMNO semakin baik. Malah di Terengganu iaitu Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, BN akan terus jadi calon.

PEMILIHAN AMANAH

Bagaimana dengan perkembangan Pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026?

Mesyuarat tahunan di peringkat cawangan sudah pun berjalan dan di peringkat kawasan bermula dalam tempoh terdekat.

Selepas selesai kedua-dua peringkat ini, akan ada perhimpunan di peringkat negeri pula dan barulah ada Konvensyen Nasional Amanah di peringkat nasional.

Apabila ada pemilihan, timbul pelbagai pandangan termasuk berkaitan tokoh yang dijangka kekal atau sebaliknya.

Namun itu perkara biasa. Apa yang paling penting seperti mana yang kita tekankan, kepimpinan Amanah akhirnya akan diputuskan melalui syura. Ini bermakna dalam konvensyen itu akan memilih 27 orang dan mereka ini bersama ketua sayap iaitu Sayap Wanita, Pemuda dan Wardah akan bermesyuarat dan putuskan siapa jadi presiden, timbalan dan sebagainya.

Adakah wujud ‘kem-kem’ tertentu menjelang pemilihan?

Daripada segi pandangan dan pendapat mungkin ada. Apa yang boleh saya harapkan agar tiada satu usaha untuk melobi dan atau membentuk pasukan seperti pasukan A lawan B atau apa saja kumpulan kerana akhirnya kita nak dengan cara syura memilih pemimpin parti Amanah.

Bagaimana saudara melihat barisan kepimpinan Pemuda Amanah. Adakah mereka benar-benar memainkan peranan dan berfungsi terutama dalam meraih sokongan golongan muda?

Memang kita tidak nafikan mereka (Pemuda Amanah) bukan sempurna dan ada kelemahan. Tetapi saya yakin Pemuda Amanah sedang berusaha sebaik mungkin.

Mungkin golongan muda hendak masuk Amanah ini, orang pun tidak berapa kenal berbanding parti yang lama seperti PKR atau UMNO.

Lagipun, kita selalu merendah diri. Apabila bercakap dalam ceramah atau majlis-majlis tertentu, kita cakap sebagai wakil Kerajaan Perpaduan atau Pakatan Harapan (PH).

Banyak orang tidak tahu Amanah ini apa perjuangan dan wawasannya. Inilah yang selalu kita tekankan bahawa perlu dicorakkan identiti kita. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kita sibuk dengan pelbagai isu, mementingkan soal kumpulan atau identiti.

Dulu kita selalu tekankan dan bercakap mewakili PH dalam PRU15. Selepas itu, apabila PRN kita terpaksa beri penekanan kepada Kerajaan Perpaduan. Di mana-mana tempat bertanding pun kita cakap calon ini calon Kerajaan Perpaduan walaupun kita bawa lambang Amanah.

Dalam suasana begitu dan sebagai parti baharu, ia memang susah hendak ditonjolkan. Kita menonjolkan diri pun dalam program tertutup. Jadi, saya rasa selepas ini kita akan tekankan perjuangan dan menyampaikan arah tuju tentang Amanah.

Sebagai contoh imej dibawa arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub. Dia perkenalkan inisiatif Rahmah dan ia antara mesej serta naratif Amanah. Benda inilah kita mahu uar-uarkan dan Insya-Allah dapat menarik golongan muda kepada konsep baharu yang membezakan Amanah dengan parti lain.

AMANAH TENGGELAM

Adakah disebabkan Amanah tiada tokoh sehingga dilihat ‘tenggelam’?

Amanah ini kita tidak tertumpu pada tokoh atau personaliti. Kita satu kumpulan dan pemimpin pun dalam satu kumpulan. Dalam Amanah juga ada Kumpulan 18 (G18) yang merupakan pengasas Amanah. Sebahagian masyarakat Cina pula mereka kata ini parti Mat Sabu (Datuk Seri Mohamad Sabu).

Bagaimanapun, kita tidak mahu wujudkan satu suasana yang mana parti itu diidentifikasikan dengan individu yang dikenali dan lebih baik. Mungkin di peringkat Pemuda dan Wanita ia dikenali ramai.

Macam Ketua Pemuda Amanah Mohd. Hasbie Muda dan pemimpin lain. Sejauh mana mereka boleh ditonjolkan atau menonjolkan diri perlu dibuktikan. Tetapi memang mereka tiada peluang untuk menonjol dan menunjukkan potensi kerana setakat ini tiada yang menjadi menteri atau timbalan menteri.

Sebenarnya, bagi saya kalau tidak menjadi menteri pun boleh saja bawa satu isu untuk diangkat. Apa yang mustahak, perkara-perkara sebegini mereka perlu belajar lebih lagi.

MAHU GANTI MAT SABU?

Apakah benar dakwaan mewujudnya percaturan bagi menggantikan Presiden Amanah?

Tak perlu percaturan pun. Dalam pemilihan kita, 27 (ahli Jawatankuasa Nasional ) campur tiga (sayap Pemuda, Wanita dan Wardah ) akan duduk berbincanglah. Tapi bagi saya, Mat Sabu pun sudah lapan tahun.

Kalau dia sendiri pun fikir sudah cukup dan mahu berikan pada orang lain, itu terpulang. Tetapi dalam mesyuarat kita akan bincang dan buat satu keputusan berdasarkan apa yang penting untuk parti. Kalau ditukar presiden mungkin akan kata ia boleh menjejaskan imej parti.

Tetapi pada masa sama ada yang kata sebaliknya, perlu satu pembaharuan untuk memberikan yang terbaik kepada parti. Jadi, ini kita akan bincangkan.

KALAU MAT SABU BUKAN PRESIDEN

Sekiranya Mat Sabu tidak lagi menjadi Presiden, adakah ia memberi kesan kepada populariti parti?

Saya rasa Amanah tidak bergantung kepada individu dan dari awal memang kita anggap kita ada individu yang boleh bawa mesej parti. Soal presiden tukar atau tidak dan lompat, sepatutnya kita mampu tangani kerana pengaruh kita tidak boleh berpaksi kepada seseorang.

Kita perlu usahakan sehingga perjuangan Amanah dapat difahamkan oleh semua. Selain itu, siapa sahaja yang jadi presiden pun orang akan faham.

Dalam PRU15 Amanah masih dilihat gagal untuk meraih sokongan orang muda dan tidak menggunakan naratif Melayu Islam. Pandangan saudara?

Kita dalam gabungan berbilang kaum dan memang kita mahu buat sebagaimana Perikatan Nasional (PN), tetapi itu tidak boleh sebab pendekatan kita bukan macam itu. Ini kerana kita tidak percaya Islam boleh diperalatkan demi kepentingan politik sebagaimana PN buat.

Jadi, kita memang akan terus beri pemahaman tentang perjuangan Islam dan politik Islam. Perkara-perkara sebegini untuk memberi pemahaman memang akan mengambil masa sikit berbanding menggunakan emosi dan sentimen. Tetapi apa yang dilakukan PN itu sendiri menjadi satu tindakan yang memakan diri kerana ekstremis dizahirkan mereka tidak akan mampu bertahan.

Semakin hari semakin terdedah kelemahan mereka. Empat negeri mereka tawan dan kata mahu tunjukkan kepimpinan ulama tetapi akhirnya mereka lantik bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi untuk empat negeri atau dikenali State Government 4 (SG-4) itu.

Ini menunjukkan mereka tiada idea selai cogan kata dan slogan semata-mata. Prestasi mereka di Kelantan pun orang boleh nampak. Semangat seperti ini hanya boleh seketika saja dan rakyat pun sudah semakin cerdik. Apa sahaja dakwaan seperti ancaman kepada Islam ini dapat ditangani.

TERJEJAS DENGAN ISU BERAS

Adakah isu nasional seperti harga beras memberi kesan kepada Amanah?

Beliau (Mat Sabu) mewarisi kelemahan kerajaan dahulu. Sebagai contoh, isu beras walhal hakikatnya memang ia diimport beras 60 peratus. Jadi, mengapa kerajaan terdahulu tidak tangani masalah ini?

Apabila India menghentikan eksport, Mat Sabu perlu ke sana dan menanganinya. Untuk jangkamasa panjang, beliau berusaha dengan melancarkan penanaman padi ala Sekinchan. Jadi, mengapa tidak menteri sebelum ini menjadikan Sekinchan sebagai contoh dan melaksanakannya?

Begitu juga soal harga dan bekalan ayam. Kita perlu tanya semula apa usaha kerajaan sebelum ini untuk menentukan pengeluaran daripada industri penternakan dapat dihasilkan dalam jumlah yang memadai agar harga pasaran dapat dikawal?

Kalau kita terpaksa import dedak dan segala macam lagi sehingga memberi kesan kepada harga, itu sebab Mat Sabu mewarisi masalah terbabit.

Berapa tahun masa diambil untuk menilai kemampuan menteri sedia ada?

Dalam tempoh tiga tahun barulah boleh menilai hasil kerja. Untuk isu berkaitan beras pula, setahun memadai untuk melihat sejauh mana peningkatan yang boleh dilaksanakan walaupun bukan lengkap.

Persoalan sekarang, kita ada tanah di Sabah dan Sarawak mengapa tidak kita usahakan? Lagipun, dalam setahun kebelakangan ini kita banyak sangat isu politik dan ia sedikit sebanyak menjejaskan prestasi kementerian.

Lagipun bagi kakitangan kerajaan pula, apabila mereka lihat timbulnya ketidakstabilan politik dan desas-desus pertukaran kerajaan, mereka tidak boleh berikan komitmen 100 peratus. Malah pelabur juga akan fikir dua kali untuk melabur di negara ini lebih-lebih lagi apabila timbul isu kata kerajaan nak ditukar lagi.

Ini sebabnya kita perlu berbalik kepada politik matang sebagaimana Pas katakan sebelum ini. Tetapi masalahnya mereka tidak amalkan. Bagi Amanah, biarlah kerajaan berfungsi dan pembangkang juga memainkan peranan dengan membangkang secara membina, bukan laungkan sentimen.

JAWATAN MENTERI TIDAK DIISI

Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang masih lagi belum dilantik. Bagaimana saudara melihat isu ini?

Bagi saya ia sepatutnya diisi jawatan itu secepat mungkin dan Amanah sudah beri nama calon untuk mengisi kekosongan.

Bagaimanapun ia terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi ia perlu diisi seberapa segera.

Jika tidak timbalan menteri pun naik ‘haru’ dan pegawai menteri yang masih ada di situ (kementerian) tidak tahu hendak buat apa.

Bagi saya selagi mana menteri tidak dilantik ia maacam terumbang-ambing. Ada satu dua nama yang diberi dan kita memahami bahawa prerogatif ialah PM. Kita memahami kuota untuk Amanah dua iaitu untuk menteri dan timbalan menteri.

ANNUAR MUSA TAK PAYAH

Adakah Amanah terbuka untuk menerima bekas pemimpin UMNO?

Tiada masalah. Bagaimanapun, kita perlu lihat siapa. Kalau macam Tan Sri Annuar Musa saya rasa tidak perlu.

Kita sentiasa terbuka kalau mahu masuk dengan niat dan tujuan yang betul. Kita tidak mahu orang yang masuk untuk buat kacau. – Mingguan Malaysia