Allahyarham Nur Diyana anak yang sangat cekal

Allahyarham Nur Diyana anak yang sangat cekal

 

Suasana hiba menyelubungi Istiadat Konvokesyen Ke-23 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, semalam ketika pengumuman penerima anugerah anumerta yang disampaikan kepada waris seorang graduan cemerlang.

Anugerah secara anumerta disampaikan kepada Allahyarhamah Nur Diyana Mohamad Fouzi Megat, penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan kepujian, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 22 Disember 2021 lalu.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pro Canselor, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom kepada bapa Nur Diyana, Mohamad Faouzi Megat, 54.

Mohamad Fouzi berkata, Allahyarhamah adalah anak yang baik dan suka pada persaingan serta sering mencabar diri mengikut rentak persekitaran sekeliling.

“Bertugas sebagai penjawat awam beruniform, hidup berpindah randah adalah lumrah. Ketika zaman remajanya, kami berpindah ke Lembah Klang selepas sekian lama tinggal di sebuah daerah utara tanah air.

“Menyedari persekitaran kepesatan di bandar yang amat pantas, dia tidak mahu ketinggalan pelajaran. Maklumlah, perbezaan suasana belajar antara luar dan dalam bandar agak ketara.

“Dia akan berusaha dengan gigih dan buktikan dia mampu menyesuaikan diri. Sebagai contoh, sebelum ini dia kurang pandai subjek Bahasa Inggeris, namun dengan semangat yang tinggi, dia memperoleh keputusan cemerlang subjek itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya sambil mengesat air mata.

Menurut Mohamad Fouzi, selepas tamat SPM, Nur Diyana menyambung pengajian dalam bidang sains di Kolej Matrikulasi Pengkalan Balak, Melaka dan mencapai keputusan amat membanggakan dengan pencapaian empat pointer selama dua tahun berturut-turut.

Sementara, ibu Allahyarhamah, Dalila Abu Bakar, 49, ketika ditemui pula tidak mampu menahan sebak sambil menyifatkan anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini cukup pandai mengambil hati keluarga dan amat berdikari.

“Pemergian Allahyarhamah amat memilukan hati kami sekeluarga. Sepanjang hayatnya dia tidak pernah membebankan kami dengan meminta duit belanja.

“Setiap kali tiba waktu cuti sekolah atau semester, dia akan buat kerja sambilan mengambil upah bekerja di pusat asuhan kanak-kanak, berniaga makanan atau pakaian,” katanya.

Katanya, sungguhpun mendapat keputusan cemerlang dalam bidang sains, jiwa anaknya yang penuh dengan ihsan kepada anak-anak kecil dan suka membantu masalah terutama rakan sebayanya yang berdepan konflik kehidupan, sekali gus mendorongnya mendalami bidang bimbingan kaunseling.

“Pernah dia membantu masalah rakan sebaya yang berhadapan masalah sosial yang agak serius hingga kemelut konflik terlerai dengan baik.

“Dengan dorongan guru kaunseling, Nur Diyana tidak terus menyambung pengajian yang diminatinya iaitu bimbingan dan kaunseling di UPSI,” katanya, memetik laporan Harian Metro.