Suara terlalu sedap, Aliff Syukri letak harga serendah RM15k untuk menyanyi

Suara terlalu sedap, Aliff Syukri letak harga serendah RM15k untuk menyanyi

 

Suara terlalu sedap, Aliff Syukri letak harga serendah RM15k untuk menyanyi.

Adakalanya kita perlu menerima hakikat bahawa tidak semua orang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan mungkin berbakat dalam bidang lain.

Namun, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, tetap percaya pada kemampuannya dalam seni suara.

Malah, dia tidak akan menerima sebarang tawaran menyanyi untuk mana-mana acara atau majlis sekiranya bayaran yang diberikan tidak setimpal.

Menurut Aliff, keputusannya ini bukanlah bermaksud dia sombong, tetapi lebih kepada menjaga reputasi sebagai seorang penyanyi berkualiti.

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya ada dapat tawaran untuk menyanyi di sebuah konsert. Saya tak bersedia kerana terus terang, suara saya ini terlalu sedap tetapi bayaran yang ditawarkan pula tidak setimpal.

“Ini saya nak beritahu, ‘rate’ atau harga saya minimum RM15,000. Ini serius, jangan ketawa. Kalau saya terima macam tak berbaloi. Kita sudah bersiap cantik-cantik, bayaran pula sekadar dapat RM2,000 atau RM3,000 memang tak berbaloi.

“Kalau macam itu tawarannya baik saya buat live di media sosial sahaja,” ujarnya memetik dari laporan Utusan Malaysia.

Selain itu, penyanyi lagu Abang Nak Tegur ini turut tidak bersetuju jika ada yang mentertawakannya apabila pendedahan ini dibuat.

“Dengan nama Allah, awak semua ingat hina sangatkah saya tak boleh menyanyi? Ini cerita betul. Saya tolak tawaran itu bukan sebab menyombong. Sudahlah lokasi pun jauh, di Pulau Pinang, kemudian bayarannya sedikit. Tak bolehlah macam itu, saya kena jaga reputasi saya,” katanya.

Sementara itu, beberapa netizen memberikan pandangan mereka mengenai kenyataan Aliff Syukri. Seorang netizen, Ain Nur Kasih berkata, tindakan Aliff menolak tawaran tersebut mungkin untuk menjaga hati pihak penganjur.

“Dia tolak la tu maksudnya. Tak nak kecilkan hati penganjur, maka dia cakap macam tu. Jadi, penganjur tak payahlah ambil dia sebab dia tau suara dia macam mana,” tulisnya.

Netizen lain, Puspasari Suratmin, turut menyokong tindakan Aliff, namun berpendapat daya tarikannya lebih kepada populariti, bukan suara.

“Tapi apa yang Datuk cakap itu betul, bukan sebab suara dia, tapi disebabkan nama dia. Aku penah tengok event yang dia hadir, memang ramai yang datang tengok dan bergambar. Serius, gila-gila punya ramai,” ujarnya.