Aliff Aziz ucap selamat hari lahir, minta maaf kepada Ruhainies

Aliff Aziz ucap selamat hari lahir, minta maaf kepada Ruhainies

 

Aktor kelahiran Singapura, Aliff Aziz ucap selamat hari lahir buat Ruhaines dan meminta maaf di atas setiap kekurangan dari dirinya dan semua pihak diatas apa yang berlaku.

Perkara tersebut dinyatakan Aliff menerusi Insta Story apabila turut memuat naik gambar mereka berdua sewaktu menjayakan pengambaran drama.

Dalam hantaran tersebut, Aliff mengucapkan selamat hari lahir kepada Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas dengan mendoakan supaya pelakon terbabit kebahagiaan.

“Selamat hari lahir kepada awak dan semoga awak dikurniakan kelimpahan dan kebahagiaan pada hari istimewa awak, hari ini dan semoga mempunyai tahun-tahun yang lebih bermanfaat di masa hadapan,” tulisnya.

Aliff turut berharap agar Ruhainies mendapat keberkatan diatas setiap kebaikan yang dilakukan dan memohon maaf jika ada kekurangan dari pihaknya serta yang lain.

“Walau apa pun, semoga Dia memberi awak keberkatan diatas setiap kebaikan yang telah dilakukan dan maafkan saya serta kami semua diatas kekurangan yang berlaku. Amin,” ujarnya lagi.

Aktor berkenaan turut menyertakan emoji bunga mawar layu serta seekor burung merpati di nama akaun Ruhainies bersama gambar mereka berdua yang sedang tersenyum.

Terdahulu, Ruhainies telah menyambut hari lahirnya lebih awal dengan menganjurkan majlis bacaan yasin bersama anak-anak yatim.

Dia yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 27 Julai telah memuat naik ulang semua ucapan yang diterima daripada rakan-rakan dan ahli keluarga serta berkongsi beberapa gambar jambangan bunga yang diterima sempena hari jadinya.

Sekadar info, Ruhainies dan Aliff Aziz telah menjadi perbualan ramai susulan ditangkap khalwat pada Mac lalu di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Disebabkan itu, bekas isteri Aliff, Bella Astillah telah menfailkan tuntutan penceraian dan sah berpisah pada pertengahan Jun 2024 selepas puluhan tangkapan layar perbualan aktor berkenaan dengan Ruhainies tersebar di media sosial.