Alat pemadam api meletup, lelaki hampir putus kaki

Alat pemadam api meletup, lelaki hampir putus kaki

Seorang lelaki hampir putus kaki kanan apabila alat pemadam api yang sedang diselenggara meletup dalam kejadian di Jalan Hussin Nordin, Taman Pearl di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku di premis tempatnya bekerja itu turut mengakibatkan dua lagi rakan mangsa cedera ringan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berusia 47 tahun sedang menyelenggara alat pemadam api jenis serbuk kering ABC.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Azman Husin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 5.09 petang.

Katanya, sepasukan sepuluh anggota termasuk unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kita dapati tiga lelaki dengan seorang daripada mereka parah di mana kaki kanan mangsa terkulai dan hampir putus pada bahagian lutut.

“Dipercayai kecederaan parah itu ekoran terkena serpihan alat pemadam api yang meletup,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, anggota memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum menyerahkan mereka kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Punca kejadian tersebut masih dalam siasatan dan operasi tamat pada pukul 5.39 petang,” katanya. – Utusan