Alami tekanan perasaan, wanita tikam diri sendiri

Alami tekanan perasaan, wanita tikam diri sendiri

 

Polis mengesahkan seorang wanita cedera bukan akibat disamun sebaliknya kecederaan itu dilakukannya sendiri dengan menikam paha kanannya di Jalan 10, Taman Greenwood, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dakwaan yang dibuat wanita itu adalah tidak benar sama sekali.

“Kejadian samun seperti yang didakwanya tidak berlaku dan individu itu didapati telah mencederakan diri sendiri dengan menikam paha kanannya kerana tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa telah reka cerita. Akibat tikaman itu, mangsa menerima tujuh jahitan pada luka (tikaman) di paha kanan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan mangsa akan dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan di Mahkamah Selayang esok.

Jelas beliau, orang ramai dinasihatkan tidak sesekali membuat laporan palsu bagi kepentingan diri sendiri kerana ia adalah satu perlakuan yang tidak bertanggungjawab dan menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita cedera ditikam pada paha kanannya dalam satu cubaan samun di Jalan 10, Taman Greenwood di sini Sabtu lalu.

Orang awam menjumpai wanita berkenaan dalam keadaan cedera di dalam sebuah kereta di lokasi kejadian.

Sumber: Kosmo