Alami delusi cinta, lelaki hendap jurugambar wanita diperintah ke Hospital Bahagia Ulu Kinta

Alami delusi cinta, lelaki hendap jurugambar wanita diperintah ke Hospital Bahagia Ulu Kinta

 

Mahkamah Majistret di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas perunding pengurusan acara sambilan iaitu individu pertama didakwa atas pertuduhan mengendap dan diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Majistret Sasha Diana Sabtu memutuskan demikian selepas meneliti segala keterangan saksi dan eksibit pihak pendakwaan dan pembelaan dengan tertuduh Mohamad Safiq Rosli, 38 didapati ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam pertuduhan.

“Mahkamah mendapati disebabkan akal yang tidak waras, tertuduh tidak mengetahui perbuatannya itu adalah satu kesalahan yang bertentangan dilakukan kerana keadaan ini di bawah Seksyen 84 kanun keseksaan ‘succesly invoke insanity defence’.

“Di bawah peruntukan Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

“Seterusnya merujuk kepada Seksyen 348 Kanun yang sama, tertuduh dengan ini diperintahkan untuk ditempatkan di bawah tahan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dan kes akan dilaporkan kepada Sultan Selangor bagi perintah selanjutnya di bawah seksyen yang sama,” katanya.

Terdahulu, pada prosiding pembelaan, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony memberitahu mahkamah bahawa pemeriksaan dilakukan beliau ke atas tertuduh mendapati lelaki itu menghidap penyakit Skizofrenia.

Katanya, ia membuatkan tertuduh mengalami delusi (khayalan) dan halusinasi yang serius dan memerlukan rawatan sewajarnya.

Ketika kejadian, tertuduh berada dalam keadaan mentaliti yang tidak waras serta tidak sedar perbuatannya itu adalah salah dari segi undang-undang.

“Mereka yang berada dalam delusi ini membayangkan seseorang itu mempunyai perasaan cinta padanya dengan dia (tertuduh) juga mempunyai perasaan yang sama.

“Perkara ini (delusi ini) berlarutan selama lapan tahun tanpa disedari oleh tertuduh,” katanya yang juga satu-satunya saksi pembelaan.

Dalam pada itu, peguam pemerhati kepada Acacia Mardiana, 31, Jason Wee ketika membacakan kenyataan impak mangsa untuk pertimbangan mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan memaklumkan anak guamnya telah diganggu oleh lelaki sama sejak berusia 23 tahun dengan tertuduh juga membuat 30 akaun media sosial untuk mengganggu mangsa.

“Dalam tempoh lapan tahun ini, saya kehilangan rakan-rakan kerana takut untuk bersosial, hilang peluang pekerjaan dan pendapatan di media sosial sebab saya takut untuk membuat hantaran berkenaan lokasi (pekerjaan) serta produk.

“Dia juga menggunakan wang untuk melancong serta menghabiskan masa berbulan di United Kingdom hanya untuk mencari saya.

“Selama lapan tahun saya, menangis meminta bantuan. Saya telah berputus asa dan merasakan diri seperti ‘dibunuh’ kerana tahu dia (tertuduh) sangat taksub kepada saya dan tidak akan berhenti mencari saya.

“Satu-satunya perkara boleh melindungi saya ialah undang-undang. Saya mohon tolong jauhkan dia dari saya selama-selamanya agar dia tidak lagi mengganggu hidup saya.

“Jika Safiq Rosli bebas, saya tahu dia akan terus mengganggu dan mencari saya dan hidup saya akan berakhir,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun ‘@sopert99’ secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun ‘@ShaFoShizzle’.

Antara gangguan itu adalah membabitkan luahan perasaan yang mana ia dilakukan pada 15 Julai hingga 21 Julai 2023.

Justeru, tertuduh didakwa atas kesalahan menghendap di bawah seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas dan Analia Kamaruddin yang mengemukakan dua saksi manakala tertuduh memilih berdiam diri dengan diwakili Peguam Fithril Hakim Ab Jalil.