Aktiviti judi haram di sebalik perniagaan kedai ubat

Aktiviti judi haram di sebalik perniagaan kedai ubat

 

Polis daerah ini memotong bekalan elektrik di enam buah premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram secara atas talian di Kamunting, Aulong dan Taiping hari ini.

Operasi bersepadu itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula pada pukul 10.18 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, operasi dijalankan mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 (1A) Akta Bekalan Elektrik 1990 pindaan 2001.

Menurutnya, sejak Januari hingga hari ini, terdapat 19 buah premis dikesan menjalankan aktiviti judi atas talian.

“Kebanyakannya berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit, kedai ubat dan sebagainya.

“Polis dengan kerjasama TNB memotong bekalan elektrik di premis yang terlibat kegiatan penjualan tambah nilai judi atas talian,” katanya kepada pemberita selepas operasi memotong bekalan elektrik di sebuah premis di Kawasan Perusahaan Kamunting dekat sini.

Menurut Osman, dalam Ops Dadu yang dijalankan sejak awal Januari lalu, polis telah melakukan 161 serbuan dan pemeriksaan ke atas premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian.

Beliau berkata, antara aktiviti judi yang dikesan ialah loteri awam haram sebanyak 95 serbuan dengan tangkapan sebanyak 97 orang, judi catat taruh haram 23 serbuan dan 25 tangkapan, judi dalam bangunan lima serbuan dengan 19 tangkapan, judi tempat bebas tiga serbuan dan 15 tangkapan manakala judi mesin berunsur perjudian 35 serbuan melibatkan 37 tangkapan.

“Sebanyak 161 serbuan telah dilakukan dengan jumlah tangkapan keseluruhan yang membabitkan aktiviti ini seramai 193 orang dengan anggaran umur 21 hingga 70 tahun,” katanya.

Menurut Osman, status pencapaian kertas siasatan Ops Dadu bagi tempoh Januari hingga September mencapai 81.3 peratus dengan jumlah 131 kertas siasatan selesai manakala bakinya 30 kertas siasatan, masih berjalan.

“Selain pemotongan elektrik, pihak polis  turut membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk membatalkan lesen perniagaan premis yang terlibat dengan aktiviti judi.

“Sehingga kini sebanyak 10 lesen perniagaan telah dibatalkan oleh MPT, ” katanya.

Sumber: Utusan