Aktiviti balak di Sungai Telemong bukan ‘biasa-biasa’

Aktiviti balak di Sungai Telemong bukan ‘biasa-biasa’

 

PERTUBUHAN-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) memohon jawatankuasa bebas seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tanpa campur tangan politikus dan taikun ditubuhkan bagi menyiasat kes pembalakan di Sungai Telemong, Bentong.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya, berkata beliau terkejut melihat foto yang diambil media tempatan yang melaporkan kegiatan pembalakan di kawasan berlaku bencana banjir besar baru-baru ini.

“Foto-foto ini diambil oleh wartawan di Karak, Bentong. Untuk yang tak berapa jelas atau tidak percaya, inilah ribuan balak yang terapung di atas air banjir.

“Menurut akhbar-akhbar berita, secara spesifik, ini adalah di Sungai Telemong. Dan dikatakan juga inilah yang mengakibatkan banjir yang dahsyat di kawasan itu.

“Lebih menyayat hati, dilaporkan juga yang orang-orang kampung di situ ada yang meninggal dunia dan ada yang hilang ketika banjir berlaku,” katanya dalam hantaran Facebook.

Aminuddin turut mempersoalkan pihak mana yang terlibat memberi kelulusan kerana kegiatan balak yang dilaporkan bukan ‘biasa-biasa’ tetapi pembalakan mega tidak sengaja terlondeh dek kuasa Allah Yang Maha Kuasa.

“Yang paling penting, agensi manakah yang bertanggungjawab membiarkan atau lagi teruk, membenarkan kebobrokan ini berlaku?

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mesti ambil serius perkara ini dan ambil tanggungjawab sewajarnya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau memohon Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) lebih cakna jika wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam aktiviti pembalakan di Bentong.

Katanya, beliau dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain telah ke Pejabat SPRM dan Pejabat Hutan Negeri bagi mendesak pihak terlibat mengambil serius terhadap kegiatan haram di hutan-hutan di Pahang.

“Sebenarnya, sudah terlalu banyak kes banjir yang berlaku disebabkan pembalakan lebih-lebih lagi di Pahang. Masih tiada lagi apa-apa langkah serius yang dapat kita lihat dari pihak berwajib.

“Saya harap foto-foto ini dapat menginsafkan mereka yang punyai kuasa, sama ada kuasa politik untuk mentadbir dengan berintegriti atau yang ada kuasa wang supaya amanah dengan kekayaan yang dikurniakan,” katanya.