Aktivis kembar Muna al-Kurd dan Mohammed al-Kurd dibebaskan setelah beberapa jam ditahan polis I5R43L

Aktivis kembar Muna al-Kurd dan Mohammed al-Kurd dibebaskan setelah beberapa jam ditahan polis I5R43L

Aktivis kembar Palestin Muna al-Kurd dan Mohammed al-Kurd, 23 tahun – kedua-duanya adik beradik kembar – dibebaskan setelah beberapa jam ditahan polis rejim Zionis Israel di rumah mereka di penempatan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur, hari ini.

Kedua-duanya yang juga penggerak utama tunjuk perasaan menentang pengusiran warga di penempatan mereka sebelum itu ditahan atas tuduhan terbabit dalam tindakan yang menganggu keamanan awam serta mengambil bahagian dalam rusuhan.

“Tidak kira apa sahaja yang mereka (rejim Zionis Israel) lakukan, tidak menjadi hal berapa jumlah yang ditangkap untuk menakutkan kami.

“Kami akan kekal di rumah kami, dan kami akan terus mempertahankan tanah di mana kami dilahirkan dan dibesarkan,” kata Muna memberitahu wartawan selepas pembebasannya.

Mohammed pula memberitahu mereka tidak takut dan akan terus menyuarakan semua ketidakadilan yang dilakukan rejim Israel ke atas warga Palestin di Sheikh Jarrah.

“Kami akan terus mempertahankan rumah kami. Senjata rakyat Palestin adalah kamera dan kata-kata, sedangkan tentera rejim Israel lengkap bersenjata api,” katanya.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin berkata 10 orang cedera apabila polis rejim Israel melepaskan tembakan peluru getah dan bom pegun ke arah penunjuk perasaan di depan balai polis mendesak kedua-dua beradik itu dibebaskan.

Mohammed dan Muna menjadi tulang belakang kepada kempen tiga bulan menggunakan tanda pagar #SaveSheikhJarrah menerusi media terhadap tindakan rejim Israel untuk menghalau penduduk di penempatan Sheikh Jarrah.

Laman Palestin dan beberapa negara Arab turut memuat naik video pembebasan kedua-duanya di laman Twitter. – Agensi

 

Sumber: JatIkhwanagendadaily