“Macam tengok diri sendiri” – Aksi lucu anjing merajuk dengan tuan buat ramai geli hati
“Man’s best friend”, itulah gelaran yang diberikan kepada anjing peliharaan atas sifatnya yang setia dengan tuannya.
Malah, kecomelan mereka juga kadangkala dapat mencairkan hati orang ramai.
Lebih comel lagi, apabila mereka kadangkala melakukan perangai yang seakan-akan manusia.
Seperti sebelum ini, seekor anjing tersipu malu apabila dimarahi oleh tuannya kerana membuat bising. Kelakar betul!
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok (@francisnguhownhua) memaparkan seekor anjing peliharaan berada di tempat duduk penumpang di dalam sebuah kereta.
Namun sebenarnya bukanlah perkara itu yang menarik perhatian orang ramai. Sebaliknya, sikap haiwan itu yang seolah-olah seperti seorang manusia!
Anjing berwarna perang diberi gelaran Bella itu kelihatan sedang merajuk dengan pemiliknya. Dia menoleh keluar tingkap dan langsung tidak melayan sahutan tuannya.
Pemiliknya berkata Bella merajuk kerana ditegur sebagai sombong sebelum itu. Kuat terasa ya!
@francisnguhownhua perempuan merajuk
Menerusi video ‘part 1’ yang dimuat naik sebelum itu, kedengaran individu berkenaan menjelaskan bahawa Bella mempunyai muka yang sombong.
Anjing tersebut yang pada mulanya duduk tegak terus menyengetkan badannya dan menolehkan kepala ke luar tingkap selepas ditegur sedemikian rupa.
Dalam masa sama, tuannya telah memuji seekor lagi anjing yang berada di tempat duduk belakang sebagai ‘sporting’. Patutlah Bella terasa ya!
@francisnguhownhua Bella muka sombong
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai berasa mereka boleh ‘relate’ dengan sikap Bella yang memandang ke luar tingkap kereta semasa sedang merajuk.
“Nama dah sama, perangai pun sama,” kata seorang pengguna yang juga bernama Bella.
Beberapa lelaki menyifatkan perangai Bella seperti teman wanita atau isteri mereka yang turut termenung ke luar tingkap apabila merajuk.
Ada juga yang menimbulkan persoalan mengenai mengapakah kita gemar melihat ke luar tingkap dalam keadaan sedemikian. Siapa-siapa ada jawapan?
Seorang individu pula memuji Bella kerana seolah-olah mempunyai ‘high-class royalty vibe’.