Akibat keletihan, seorang pemandu ambulans meninggal dunia selepas hantar pesakit Covid-19
PENULARAN pandemik Covid-19 yang semakin ‘menjadi-jadi’ melanda negara ketika ini sememangnya satu perkara yang membimbangkan ramai pihak.
Tambahan pula kini negara diserang gelombang ketiga yang lebih dasyat sehingga kes positif harian yang dilaporkan mencecah empat angka.
Sejak daripada wabak itu dikesan, pastinya golongan yang kini boleh dianggap wira negara adalah petugas barisan hadapan yang setiap hari bekerja keras membendung wabak itu terus menular.
Mereka sanggup mengambil risiko berdepan sesuatu yang cukup asing, yang tidak pernah mereka tangani sebelum ini.
Namun apa yang lebih menyedihkan, tanpa disangka, dalam kekalutan mereka memberikan perkhidmatan yang terbaik, ada juga dalam kalangan mereka ‘gugur di medan perang’ ketika sedang bertugas.
Perkara itu dibuktikan apabila sekeping gambar kini tular di media sosial yang mana memperlihatkan seorang petugas kesihatan yang juga pemandu ambulans telah rebah ketika sedang bertugas dan meninggl dunia.
Gambar pemandu ambulans itu tular dalam keadaan terbaring dengan memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) serta dikerumuni beberapa petugas kesihatan yang cuba memberikan bantuan kecemasan.
Menurut sumber, mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Zamri Sulaiman, 54, meninggl dunia dipercayai kerana terlampau penat selepas menghantar pesakit Covid-19 ke hospital.
Hasil siasatan awal, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil beberapa ujian saringan Covid-19 yang dilakukan Allahyarham sebelum ini adalah negatif.
“Pesakit (pemandu ambulans) ada sejarah penyakit lain yang sedang dalam rawatan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kematian. Yang pasti, ada beberapa penyakit lain,” katanya.
Bagaimanapun Dr Noor Hisham enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung perkara itu.
Difahamkan, pemandu ambulans berkenaan menghidap penyakit asma dan sewaktu kejadian, Allahyarham dipercayai keletihan sebelum tidak sedarkan diri.
Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sumber: Sinar Harian