“Akak deodorant” – Tular manifesto ‘free deodorant’, pelajar UMS menang MPP & berjaya tewaskan 4 calon lain
Minggu lepas, tular di media sosial mengenai manifesto free deodarant oleh seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertanding untuk pilihan raya kampus tersebut.
Nampak lucu tapi manifesto itu dipuji ramai kerana bersifat realistik dan memahami masalah pelajar.
Walau bagaimanapun, calon Majlis Perwakilan Pelajar, Siti Nur Asyerra Wasli atau lebih mesra disapa Ara telah memenangi pilihan raya tersebut selepas berjaya menewaskan empat calon yang lain.
Terbukti manifestonya telah mendapat kepercayaan penuntut di universiti tersebut.
Memetik laporan Kosmo!, idea manifesto itu tercetus berdasarkan pengalaman Ara dan rakan-rakannya yang berdepan dengan masalah ketiadaan air di universiti mereka.
Namun, dia tidak memandang remeh usaha pihak lain untuk selesaikan masalah itu tetapi dengan pemberian deodaran percuma ini sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar.
Memang sudah ada pelbagai usaha dari semua pihak untuk selesaikan masalah air. Tapi pemberian deodoran ini adalah penyelesaian percuma kepada semua pelajar yang berasa insecure.
Pada awalnya, Ara teragak-agak untuk mengusulkan manifesto itu tetapi dengan sokongan dan pandangan orang sekeliling serta dekan fakulti, dia teruskan juga manifesto tersebut.
Mula-mula saya pun teragak-agak sebab manifesto ni kedengaran lucu. Tetapi orang sekeliling sokong, saya teruskan juga. Sebab itulah saya gunakan tanda pagar #TidakLucuTapiFakta ketika berkempen.
Pelajar itu mengakui tidak mahu berjanji ‘bulan bintang’ dalam manifesto, jadi dia mahu membuat perubahan yang tidak memerlukan banyak proses.
Kalau bina fasiliti, saya tidak mampu sebab banyak prosesnya. Dan saya tak mahu janjikan bulan bintang sampai akhir.
Selalu orang kata pemimpin perlulah berwibawa dan berkualiti. Tapi lagi bermakna jika pemimpin yang mahu meletakkan dirinya di tempat rakyat, mahu merasai situasi rakyatnya.
Anak kelahiran Ranau, Sabah itu berkata, dia telah menerima beberapa penaja untuk menunaikan manifestonya.
Kini, dia sedang memperhalusi proses pemberian deodaran yang bakal diagihkan sekitar bulan Mac kepada semua pelajar UMS yang berdepan dengan masah bau badan.