Ajai cadangkan Fazura ambil kelas, belajar vokal untuk perbaiki mutu nyanyian
Ajai cadangkan Fazura ambil kelas, belajar vokal untuk perbaiki mutu nyanyian.
Komposer dan penyanyi, Ajai berpendapat Nur Fazura perlu menghadiri kelas vokal untuk memperbaiki nyanyiannya.
Ajai berkata, ilmu dan pendidikan berkaitan vokal penting buat seseorang penyanyi dan lebih bagus sekiranya Fazura menggunakan peluang yang ada untuk menggilap bakat nyanyiannya.
“Sebenarnya, saya tak berminat nak komen bila tidak menghakimi seseorang dalam pertandingan. Bagi saya, penyanyi kena tahu mengenai bunyian.
“Dalam nyanyian ada penyanyi yang bagus menyanyi, tapi tiada tarikan, Tapi, saya merasakan Fazura boleh menyanyi. Sebahagian penyanyi ada 50 peratus sahaja kreativiti, tapi ada tarikan.
“Sudah tentu label akan pergi kepada penyanyi yang ada tarikan dan membuat pelaburan.
“Misalnya, Britney Spears dan Christina Aquilera. Kalau nak dibandingkan, Christina sangat bagus menyanyi, tapi yang lebih berjaya adalah Britney sebab ada tarikan.
“Ini adalah resam dalam dunia nyanyian. Semua ini pernah terjadi pada era 1980-an, band yang ada rupa, tapi bila buat persembahan orang nilai dari segi kualiti,” katanya menurut BH Online.
Ajai berkata, Fazura juga memerlukan penerbit yang berpengalaman untuk mengendalikan vokalnya.
“Sebagai individu memiliki ramai peminat, Fazura sepatutnya ambil inisiatif untuk ‘upgrade’ vokal dan bunyian yang sedap.
“Kita sendiri kena tahu bunyian itu sedap atau tidak. Setahu saya, Fazura bekerja dengan mereka yang profesional. Jadi, inilah peluang untuknya besarkan lagi bakat.
“Dia perlukan produser tepat sebab nyanyian bukan soal ada vokal tinggi, akan jadi bagus. Kena ada bunyi sesuai dipanggil ‘easy listening’ yang tidak mencederakan vokal.
“Produser juga kena tahu kemampuan nyanyian seseorang penyanyi,” katanya.
Bagaimanapun, Ajai berkata, apa dijelaskan adalah pendapatnya dan beranggapan Fazura masih mempunyai ruang untuk belajar dan perbaiki vokal, seiring dengan peredaran zaman yang mana pendengar sudah semakin bijak.
“Saya dapat melihat nyanyian Fazura secara singkat di Instagram. Saya bukannya ‘kaki periksa’ kalau tiada kena mengena dengan saya.
“Cuma, kena ingat pendengar sudah pandai mendengar kerana ada pelbagai teknologi yang boleh dilakukan di rumah. Ilmu muzik juga kian meluas bukan hanya di studio rakaman, boleh belajar di rumah juga.
“Pengetahuan ilmu muzik kini sudah meluas dan banyak kolej muzik yang tengah naik, berbeza dengan zaman dahulu. Lagi pula, zaman digital yang berpegang pada bunyian,” katanya.
Terdahulu, nama Fazura hangat diperkatakan susulan persembahannya di sebuah program temubual di Indonesia.
Nyanyiannya ketika mempromosikan single Bertahan Demi Cinta hasil paduan suara dengan bekas suaminya, Fattah Amin itu menerima pelbagai reaksi pendengar.