Air Sungai Perak menghampiri paras berjaga-jaga

Air Sungai Perak menghampiri paras berjaga-jaga

Paras air di Sungai Perak menghampiri paras berjaga-jaga, kesan pelepasan air secara terkawal dari tiga empangan, sejak Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusaha dalam memastikan paras air terkawal dan empangan selamat.

“Keadaan paras air sungai sekarang ini ialah 32.0 meter, iaitu satu meter lagi menghampiri ke paras berjaga-jaga 33.1 meter dan 34.6 meter paras bahaya,” katanya ketika membuat tinjauan di jeti penambang, di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak dan Ketua Retail TNB Perak, Ir Mohd Azhar Abd Rashid.

Katanya, TNB melaksanakan pelepasan terkawal di empangan Bersia dan Kenering sejak Khamis lalu bagi memastikan paras air di setiap empangan berada pada paras yang selamat.

“Akibat jumlah aliran air yang tinggi, TNB terpaksa meningkatkan kadar pelepasan terkawal di Stesen Janaeletrik Chenderoh sehingga 550 meter padu per saat pada 9 Januari lalu.

“Ini bagi mengimbangi paras air di empangan Chenderoh dengan jumlah aliran air dari empangan Kenering dan sungai yang lain,” katanya.

Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri mengarahkan semua agensi yang di daerah Kuala Kangsar dan Perak Tengah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat peningkatan pelepasan terbabit.

“Buat masa ini, belum ada kejadian banjir besar yang dilaporkan sepanjang tempoh musim tengkujuh bermula November tahun lalu, sehingga sekarang,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/01/774990/air-sungai-perak-paras-berjaga-jaga