Air jagung Amir Raja Lawak diugut boikot gara-gara ‘tagline’ Amirreka – “Mohon bezakan baik-baik”

Air jagung Amir Raja Lawak diugut boikot gara-gara ‘tagline’ Amirreka – “Mohon bezakan baik-baik”

Dapat dilihat ketika ini sedang berlaku protes memboikot semua produk dan syarikat yang menyokong jenayah perang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin.

Ada yang bertindak tidak lagi membeli produk yang berkaitan dengan Israel dan ada peniaga yang menghentikan penjualan produk itu di kedai mereka.

Namun, ada yang begitu ‘ekstremis’ dalam memboikot apabila secara semberono mahu memboikot perniagaan seseorang tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Situasi ini berlaku kepada pelawak Amir Raja Lawak apabila seorang pengguna media sosial mencadangkan agar perniagaan pelawak itu diboikot gara-gara disangkakan mempunyai kaitan dengan negara Amerika.

Snapinsta.app 395702479 18393268279031314 8088515726024289356 N 1080

Amir Raja Lawak atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi, 34, memuat naik satu hantaran di laman Instagram tampil memberi penjelasan berkenaan isu tersebut.

Katanya, perniagaannya ‘Air Jagung Amirreka’ itu sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan negara Amerika.

Snapinsta.app 398752069 18394750531031314 2332058322408126472 N 1080

Memetik sumber Harian Metro, biasanya pelawak itu tidak ambil pusing mengenai komen-komen nakal netizen namun disebabkan isu ini berkaitan dengan boikot, dia terpanggil untuk memperjelaskan supaya orang ramai tidak salah anggap.

“Ya Allah, dah terang-terang saya ni ‘Amirreka’ bermaksud Amir reka ataupun Amir yang reka. Air jagung Amirreka ni dah tentu maksudnya air jagung amir yang reka,” balasnya di ruangan komen tuduhan tersebut.

Justeru, dia meminta orang ramai untuk membezakan dengan sebetulnya kerana salah faham sebegitu dapat menjejaskan perniagaannya.

“Saya ‘Amir Reka’ bukannya Amerika. Mohon bezakan baik-baik ya. Saya mohon maaf jika ada yang keliru. Saya harap dengan penjelasan saya di komen semua jelaslah ya.

“Saya ini ada ejen dan mereka (ejen-ejen) juga cari rezeki. Kasihan ejen-ejen saya kalau perniagaan saya terjejas disebabkan benda-benda begini,” jelasnya.

 

Walaupun sekadar gurauan, tapi isu ini tidak boleh dibuat main kerana ia boleh menjejaskan punca rezeki seseorang.