Tak fikir soal geli, pelakon wanita ini sanggup cium dan minum air basuhan kaki Faizal Hussein

Tak fikir soal geli, pelakon wanita ini sanggup cium dan minum air basuhan kaki Faizal Hussein
Pelakon Fazlina Ahmad Daud tidak fikir soal geli ketika melakonkan babak mencium dan minum air basuhan kaki ketua kumpulan ajaran sesat kerana terlalu menghayati watak Kalsom dalam drama Bidaah.
Fazlina berkata, babak yang membabitkan lakonannya bersama ketua ajaran sesat, Walid Muhammad lakonan Faizal Hussein hanya dilakukan sekali sahaja tanpa sebarang suntingan.
“Saya tak tahu kenapa watak Kalsom seakan-akan menyerap dalam jiwa sehingga langsung tak timbul soal geli ketika melakukan adegan mencium dan minum air basuhan kaki.
“Ketika itu, saya nampak Faizal seperti satu figura sangat besar. Jujurnya, barulah kini saya faham kenapa pengikut ajaran sesat terlalu taasub sehingga sanggup tinggalkan harta, pekerjaan dan segala-galanya.
“Bukan senang membawakan watak Kalsom kerana kami adalah dua insan berbeza. Tiada satu pun keperibadian Kalsom mempunyai persamaan dengan saya,” katanya yang ditemui BH Online pada majlis sidang media drama rantaian, Bidaah yang bakal ditayangkan di platform Viu, pada 6 Mac ini.

Watak Kalsom seakan-akan menyerap dalam jiwa hingga langsung tak timbul soal geli ketika melakukan adegan mencium dan minum air basuhan kaki. – NSTP/Nabila Adlina Azahari
Menurut Fazlina lagi, dia terseksa membawakan watak Kalsom kerana penulis skrip, Erma Fatima sangat tegas dalam lontaran dialog.
Katanya, pelakon tidak dibenarkan menukar dialog sesuka hati dan harus menggunakan intonasi dipersetujui oleh Erma.
“Saya memang keluar dari zon selesa apabila menjayakan watak Kalsom kerana ini antara watak paling mencabar.
“Sebagai pelakon, saya bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu ajaran sesat.
“Walaupun mempunyai masalah peribadi, kami profesional apabila berada di set penggambaran. Ini kerana apa yang saya lakon boleh membuka mata masyarakat,” katanya lagi.
Fazlina berkata, watak Kalsom menimbulkan rasa kasihan terhadap pengikut ajaran sesat.
“Sebelum ini, saya sering salahkan mereka kerana sanggup gadai harta hingga ada yang korbankan pekerjaan demi ketaksuban kepada sesuatu ajaran.
“Namun, saya mula faham apabila berlakon sendiri hingga menjadikan saya tak mudah menilai orang.
“Selain itu, drama ini juga mengajar saya untuk tidak berlebih-lebihan dalam segala hal,” katanya.
Bidaah mengisahkan Baiduri (Riena Diana) wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina) untuk menyertai Jihad Ummah iaitu kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal).