Agong cadang kerajaan perpaduan, tapi Muhyiddin tolak kerjasama PH-PN

Agong cadang kerajaan perpaduan, tapi Muhyiddin tolak kerjasama PH-PN

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan agar Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Menurut laporan Berita Harian, bagaimanapun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju kerana mempunyai prinsip sejak dulu untuk tidak bekerjasama dengan PH.

Calon Perdana Menteri ke-10 itu berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen tetapi bertindak menulis nota menyatakan tidak bersetuju berhubung cadangan menubuhkan kerajaan tersebut.

Sementara itu, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa PN telah menyerahkan dokumen mengandungi akuan berkanun membabitkan 115 Ahli Parlimen kepada Istana Negara, semalam.

“Sebab itu, kami yakin kami dapat membentuk kerajaan tapi maklumlah bila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak cukup.

“Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik itu tapi buktinya ada di sini,” katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, lewat petang tadi.

Terdahulu, penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu dititah menghadap Seri Paduka Baginda pada 4.30 petang tadi di Istana Negara.

Ia susulan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.