“Afeeya pergi dalam keadaan tenang”
Derita Sharifah Ammara Afeeya Syed Norahmad Adzmy yang bergantung dengan mesin bantuan pernafasan dan penyedut kahak setiap hari kerana menghidap masalah paru-paru serta saluran pernafasan sempit sejak lahir berakhir selepas bayi itu meninggal dunia, semalam.
Bayi berusia tujuh bulan itu meninggal dunia pada 7 pagi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Wangi di sini.
Ibunya, Nurfadilah Mahd Razali, 28, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu demam selama dua hari dan keadaannya menjadi agak lemah.
Menurutnya, bayinya itu menghembuskan nafas terakhir di rumah dan kematiannya disahkan petugas kesihatan yang datang ke rumah.
“Afeeya pergi dalam keadaan tenang dan sangat mudah. Dia tidak mengalami sesak nafas dan saya sempat melihatnya sebelum menyedari dia sudah tiada.
“Saya reda dengan pemergiannya walaupun kehadirannya sangat dinantikan kami sekeluarga, lagipun dia pergi dalam bulan mulia, Ramadan dan pada hari Nuzul al-Quran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nurfadilah berkata, mereka sekeluarga berterima kasih untuk bantuan yang diberikan orang ramai selepas kisah anaknya mendapat liputan media.
Pada 14 April lalu, Harian Metro melaporkan bayi itu menggunakan mesin bantuan pernafasan dan penyedut kahak untuk menyokong pernafasannya serta mengelakkannya berasa lemas kerana banyak air liur dan kahak dalam mulut.
Mereka juga baru pulang ke rumah pada hujung bulan lalu selepas lebih enam bulan ‘berkampung’ di Hospital Seri Manjung untuk rawatan anaknya itu. – HM